SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan disembah maklum berhubung keputusan yang telah dicapai mesyuarat khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengenai GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), esok.

Perkara itu dimaklumkan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah kepada pemberita di sini hari ini.

"Keputusan (berhubung GISB) sudah dibuat dalam mesyuarat (semalam) dan kita akan bawa menghadap kepada Sultan Selangor esok sebelum ia diwartakan," katanya.

Isnin lepas, Jabatan Mufti Negeri Selangor telah bersidang bagi memutuskan persoalan berkaitan GISB di negeri itu, selain mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut dibentangkan laporan berkaitan GISB oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 24 Sept lepas.

Pada 20 Sept, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISB dan rangkaiannya.

Sehubungan dengan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISB dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.

-- BERNAMA