Pembayaran zakat bagi tahun kewangan berakhir 2023 itu diserahkan oleh Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam satu majlis di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Ambrin Buang, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.
Mohd Sabirin ketika ditemui berkata kutipan zakat individu dan zakat perniagaan di Selangor menunjukkan peningkatan hasil usaha dakwah dilakukan LZS, bagi memastikan rukun Islam keempat itu dilaksanakan semua pihak yang berkemampuan.
"Kutipan zakat bagi suku ketiga tahun ini telah meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lepas, begitu juga dengan zakat perniagaan iaitu kita juga melihat peningkatan bayaran daripada syarikat-syarikat baharu dan juga syarikat lama seperti PNB," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata peningkatan pembayaran zakat itu amat dialu-alukan bagi memastikan pemberian bantuan berterusan untuk golongan yang memerlukan di Selangor selain akan turut digunakan untuk aktiviti dakwah di negeri itu.
LZS mencatatkan trend positif kutipan zakat apabila melebihi 60 peratus daripada sasaran ditetapkan setakat September lepas sekali gus optimis untuk mencapai sasaran RM1.2 bilion pada hujung Disember ini.
-- BERNAMA