Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri berdepan kesuntukan masa untuk memastikan KB Sentral dapat beroperasi seperti dijadualkan pada 2027.
"Kita telah meminta syarikat berkenaan memberikan keputusan sama ada ingin meneruskan projek ini tanpa sebarang rundingan lanjut atau menyerahkannya kembali kepada kerajaan negeri. Surat telah dihantar untuk mendapatkan jawapan, dan kita telah menetapkan tempoh tertentu untuk projek ini disiapkan.
"Jika Perak Transit masih cuba berbincang mengenai syarat tambahan, kita akan berikan satu tarikh akhir dan jika tiada keputusan konkrit, kerajaan negeri sendiri akan mengambil alih pembinaan ini," katanya kepada pemberita ketika mengulas perkembangan projek KB Sentral dalam sesi dialog sempena Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Media, di sini, malam tadi.
Mohamed Fadzli menegaskan, kerajaan negeri masih bertolak ansur namun projek itu perlu disiapkan segera.
Beliau berkata, keputusan berkenaan bukan untuk meremehkan keupayaan Perak Transit yang sebelum ini berjaya melaksanakan banyak projek lain.
"KB Sentral mempunyai banyak komponen stesen bas, kompleks beli-belah, kediaman dan sebagainya. Tetapi fokus utama kita adalah stesen bas terlebih dahulu manakala komponen lain boleh menyusul kemudian," katanya. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)