Mangsa yang maut dikenal pasti Mohd Arshad Hanapiah, 73, berasal dari Lorong Fajar 3 Jalan Sultanah Alor Setar, Kedah.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar menerima laporan kejadian pada jam 5.20 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati van jenis Toyota Hiace yang dipandu lelaki berusia 29 tahun itu membawa tujuh penumpang dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar untuk ke Krabi, Thailand.
“Semasa sampai di lokasi kejadian van yang dipandu telah terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok yang berada di bahu kiri jalan.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan enam penumpang lain mengalami kecederaan.
“Siasatan polis mendapati ketika kejadian keadaan lokasi kejadian gelap dan kurang pencahayaan lampu jalan ditambah hujan lebat dan permukaan jalan basah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Yusharifuddin berkata, mayat mangsa dihantar Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk bedah siasat.
Sementara mangsa yang cedera turut dihantar ke Unit Kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.