PENYANYI kumpulam Slam, Zamani Ibrahim, mengakui terkilan apabila single terbaharunya, Tambatan Hati tidak dimainkan di stesen radio.

Menurut Zamani, dia berasa sesuatu yang tidak kena apabila lagunya yang diterbitkan dua tahun lalu tidak mendapat sambutan walaupun sudah memberikan demo lagu tersebut kepada stesen radio.

"Saya sebenarnya terkilan apabila single saya yang dikeluarkan tidak mendapat sambutan daripada peminat.

"Sejujurnya saya tidak pernah mendengar sekali pun lagu itu dimainkan di mana-mana stesen radio di Malaysia.

"Namun sehingga sekarang saya tidak tahu punca kenapa stesen radio tak mainkan langsung lagu itu.

"Perkara itu sedikit sebanyak membuatkan saya serik untuk keluarkan single baharu namun saya melihat perkara itu daripada sudut positif untuk berusaha lebih keras lagi selepas ini," katanya kepada Astro Gempak.

Zamani berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Pentas Maya Bersama Zamani di Kafe Sakura Kristal, pada Khamis.

Konsert Pentas Maya Bersama Zamani yang dianjurkan Pentas Maya dengan kerjasama Mobilewerkz Technologies akan diadakan pada 2 Mei ini.

Ia merupakan konsert pertama yang diadakan secara atas talian.

Peminat boleh melayari laman web www.pentasmaya.com untuk mendapatkan akses menonton konsert tersebut dengan harga sebanyak RM30.