SELEBRITI antarabangsa, Alan Walker, menunaikan janjinya untuk mengadakan konsert di Malaysia selepas membatalkannya pada Jun lepas.


Ringkasan AI
  • Alan Walker membatalkan konsert pada Jun lepas kerana faktor keselamatan dan isu penyalahurusan.
  • Konsert baharu akan diadakan di KL Base, Sungai Besi pada 8 November 2024.
  • Pemegang tiket lama boleh menukar tiket mereka dan layak untuk diskaun 15% untuk pembelian tiket tambahan.
  • Konsert ini dibuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas.


Menurut Alan, keputusan untuk membatalkan konsertnya sebelum ini adalah disebabkan faktor keselamatan dan juga isu penyalahurusan.

“Persembahan sebelum ini dibatalkan akibat faktor keselamatan yang kritikal dan isu penyalahurusan yang dikemukakan kepada kami menjelang tarikh persembahan.

“Laporan keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak ketiga menegaskan masalah-masalah berhubung persediaan pentas. Vendor-vendor tempatan juga berdepan dengan isu-isu bayaran.

“Keputusan terpaksa dibuat dengan membatalkan persembahan tersebut demi mengutamakan keselamatan dan pengalaman para peminat serta mengelakkan kerugian lanjut dialami oleh vendor-vendor tempatan,” ujarnya.

Untuk persembahan kali ini, pihak pengurusan Alan telah memilih untuk menganjurkannya di KL Base, Sungai Besi kerana percaya bahawa lokasi ini sangat sesuai dengan konsep persembahan yang ingin dia tampilkan.

Pada masa sama, pemuzik yang popular dengan lagu “Faded” ini juga memaklumkan bahawa peminat yang sudah mendapatkan tiket konsert sebelum ini tidak perlu mendapatkan tiket baharu.

“Pemegang tiket persembahan yang terdahulu boleh menukar tiket mereka kepada tiket persembahan baharu.

“Jika mereka layak, mereka boleh menebus diskaun 15% untuk pembelian tiket tambahan di All-Access sebelum 26 September untuk layak masuk ke persembahan baharu.

“Selain itu, dengan susunan pentas yang baharu, pemegang tiket VIP dan Cat 1 akan ditawarkan laluan masuk pantas khas (fast-track), supaya dapat mendahului ke ruang depan zon dan menikmati persembahan baharu yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tiket untuk persembahan baru kini dijual di All-Access: www.all-access.io/walkerworldmy.

Konsert ini dibuka kepada mereka yang berumur 15 tahun ke atas. Hadirin yang berumur 18 tahun ke bawah harus ditemani oleh penjaga berumur 19 tahun ke atas.

Terdahulu, konsert Walkerworld Tour 2024 (Walkerworld) yang sepatutnya diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 22 Jun lalu telah dibatalkan oleh Alan Walker pada saat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu.

Pada masa sama, timbul juga kontroversi di mana penyanyi undangan konsert tersebut, Putri Ariani, telah membuatkan media tempatan tertunggu-tunggu untuk menemubualnya selepas selesai sidang media konsert Walkerworld Tour 2024.

Tindakan tersebut membuatkan pihak media Malaysia berkecil hati memandangkan Alan sendiri meluangkan masa yang cukup untuk ditemu bual, namun pihak pengurusan Ariani mengambil pendekatan sebaliknya. -Gempak