KUALA LUMPUR: Lebih suku abad dalam industri muzik negara, Tomok dan Nana kekal berbisa dengan persembahan cukup bertenaga untuk menghiburkan peminat masing-masing dalam Konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang pada Sabtu malam.

Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail menceburi bidang seni suara pada 1999 menerusi kumpulan New Boyz, manakala Siti Nordiana Alias yang lebih popular sebagai Nana pula secara solo, juga pada tahun sama.

Kehebatan kedua-dua penyanyi yang kini berusia 40 tahun itu terserlah menerusi persembahan lagu-lagu hit mereka pada konsert yang dihadiri oleh hampir 1,500 peminat dari dalam dan luar negara.

"Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong kami. Nana bersyukur masih boleh bertahan hingga hari ini," tutur Nana.

Sepanjang konsert, ruang di Zepp Kuala Lumpur itu hinggar dengan suara peminat yang meneriakkan nama pelantun lagu Memori Mungkin Berulang itu selain turut menyanyi bersama-sama mereka.

 Persembahan memukau dari penyanyi Siti Nordiana pada Konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang pada Sabtu malam.- Foto Bernama

Lagu-lagu yang didendangkan seperti Benang Emas, Cinta Tak Pergi, Terus Mencintai, Meraung, Seribu Setia, Gurauan Berkasih, Memori Berkasih dan Paling Comel, ternyata berjaya membawa penonton kembali ke era awal 2000-an.

Pada segmen kelima, Tomok dan Nana menggamatkan suasana pentas dengan lagu K-pop, Kill This Love yang dipopularkan oleh kumpulan Blackpink dan medley lagu hindi popular Kuch Kuch Hota Hai serta Koi Mil Gaya yang membuatkan peminat menari bersama mereka.

Persembahan memukau dari Tomok pada Konsert Tomok dan Siti Nordiana: Memori Mungkin Berulang pada Sabtu malam.- Foto Bernama

Cerita serta penghargaan Tomok dan Nana terhadap perjalanan seni mereka disusun kemas berselang-seli sepanjang konsert berlangsung, selain vokalis New Boyz itu turut merakam ucapan istimewa buat ahli-ahli kumpulannya yang hadir di konsert berkenaan.

"Saya membesar dengan New Boyz, walaupun saya bergerak solo, saya tetap akan berjalan dengan nama New Boyz. Mungkin lepas ini ada konsert Tomok, New Boyz dan Siti Nordiana pula di Singapura. Kita tengok macam mana," kata Tomok pada konsert anjuran syarikatnya Popsicle Records.

Tomok juga sempat mengumumkan yang beliau dan Nana bakal mengeluarkan lagu duet terbaharu mereka selepas Hari Raya Aidilfitri.

-- BERNAMA