Noorshila Amin yang mesra disapa Mama Shila, pelantun yang terkenal dengan lagu hitnya, Rambu Ramba dan Aku Sudah Jatuh Hati kini berusia 60 tahun dan ternyata masih mampu mendendangkan genre RB, pop mahupun dangdut yang sememangnya bernada rancak.
Melihat kepada stamina anak kelahiran Kuala Lumpur ini, pasti ramai peminatnya ingin mengetahui ‘rahsia’ peserta Gegar Vaganza musim ke-enam ini yang masih lagi kelihatan anggun di usia emas.
Berkongsi dengan Bernama baru-baru ini, Noorshila berkata, dia tidak mengambil sebarang pil kecantikan tetapi memilih untuk menukar gaya hidup sebelum ini kepada amalan pemakanan sihat serta bersenam ringan sejak lima tahun lepas.
Ternyata, perubahan tersebut yang terdetik daripada kepercayaan kepada kata-kata yang terkenal dalam kalangan orang Barat iaitu ‘You are what you eat’ (Anda adalah apa yang anda makan), membuatkan dirinya dapat merasakan perbezaan ketara apabila mendapati diri lebih sihat, bertenaga dan kehidupan yang sejahtera.
“Kebiasaannya bila dah berumur ini, pastinya kita dah puas makan macam-macam ketika zaman muda dahulu. Jadi, Kak Shila rasa patut perlahan-lahan tukar cara pemakanan dan tahun ini, sudah tahun kelima akak amalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.
“Kak Shila akan pastikan, setiap hidangan mesti ada sayur-sayuran, ulam-ulaman dan elak makan sambal belacan. Nasi pula ambil segenggam sahaja dan air kena pastikan minum cukup dua liter sehari,” katanya.
Tidak lokek berkongsi tips malah semakin teruja, Noorshila yang juga sebelum ini pernah menjadi penyanyi di Orkestra Tentera Darat (OTD) berkata, dia juga akan memastikan dirinya melakukan aktiviti riadah pagi, berjalan laju dan mengamalkan puasa hari Isnin serta Khamis.
Selain mengelak untuk makan lewat malam, dia juga akan tidur pukul 10 malam bagi mendapatkan rehat yang cukup kerana kekurangan tidur akan membuatkan badannya berasa tidak segar, berisiko terdedah pelbagai penyakit serta akan menjejaskan kecantikan kulit wajahnya.
“Kalau kita tidur lewat, mungkin perut akan rasa lapar dan mulalah hendak cari makanan, sebab itu, waktu tidur penting jaga. Minta-minta Allah jaga kesihatan Kak Shila dan dipanjangkan umur,” katanya yang kini sedang membuat persiapan Konsert Volume 1 Mega Hitz, dijangka diadakan pada 15 Disember depan.
Teruja untuk menjayakan konsert tersebut yang turut menampilkan bintang legenda tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Man Bai, Ramlah Ram dan Zur Eda, Noorshila turut mengimbau kembali antara momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang 40 tahun berkecimpung dalam industri muzik negara.
Seperti penyanyi-penyanyi lain, ‘kehilangan suara’ sebelum melakukan sesuatu persembahan merupakan ketakutan terbesar buat mereka, begitu jugalah buat Noorshila yang pernah mengalaminya sekitar 20 tahun lepas akibat tertidur selama lima minit.
Gementar rasanya kerana suaranya hilang sehari sebelum menjayakan persembahan penting untuk Mesyuarat Majlis Raja-Raja, dia akhirnya terpaksa menukar kesemua lagu yang ingin didendangkannya kepada nada lebih rendah daripada asal dan itu pun hanya mampu melantunkan empat buah lagu sahaja.
“Masa itu, Kak Shila terima banyak sangat undangan buat persembahan dan rehat memang kurang. Kebetulan waktu itu, saya dari Sarawak terus ke Langkawi dan bila sampai, rasa hendak tidur sekejap tetapi bila bangun suara hilang, dah jadi macam suara itik,” katanya.
Tidak hanya mengisi kehidupannya dengan membuat persembahan, Noorshila juga gemar mengait beg manik kristal dan berkongsi minatnya itu di Instagram miliknya sehingga menerima banyak tempahan.
“Kak Shila sampai sekarang memang suka mengait, buat beg tangan dan tak sangkalah ada yang berkenan. Pernah sampai beratus unit terjual termasuk di Sabah, Sarawak dan Brunei sehingga pernah tulang tangan Kak Shila sakit ketika menyiapkan tempahan dan perlu jalani pembedahan,” katanya.
-- BERNAMA