KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik Indonesia, Govinda yang akan mengadakan konsert sulung mereka di Malaysia pada 31 Oktober ini menjanjikan persembahan yang pasti meninggalkan kenangan manis khusus untuk peminat di bandar raya ini.

Vokalisnya Muhammad Irfan Hadari berkata, penerimaan positif peminat tempatan terhadap lagu-lagu mereka seperti Hal Hebat dan Masing-Masing menjadi pendorong utama kumpulan itu untuk mengadakan konsert eksklusif itu.

"Kami sudah lama memasang impian untuk membuat konsert di sini (Malaysia), lebih-lebih lagi selepas mendapat maklum balas positif peminat ketika muncul di Konsert Aku Cinta Syamel Ernie Zakri, dua tahun lepas," katanya dalam sidang media konsert tersebut, baru-baru ini.

Konsert 'Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur' anjuran Adimusiqa akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur dan turut menampilkan penyanyi terkemuka dari Indonesia dan Malaysia iaitu Fadly Padi, Ernie Zakri, Aina Abdul dan Elica Paujin.

Mengenai pembabitan Ernie dan Aina dalam konsert tersebut, Muhammad Irfan menegaskan tidak ada istilah menumpang nama kedua-dua penyanyi popular tempatan itu, sebaliknya menghargai hubungan serta sokongan sesama mereka dalam dunia seni.

"Ketika Ernie berkunjung ke Indonesia, kami dan media Indonesia menyambutnya dengan sangat baik...kami bangga mempromosikan Ernie.. tidak ada sedikit pun, kami kata Ernie menumpang nama Govinda di Indonesia kerana Ernie juga luar biasa dan layak memperluaskan kerjayanya di Indonesia.

"Begitu juga di Malaysia, tak ada istilah kami menumpang nama mana-mana penyanyi kerana masing-masing sudah mencipta nama dan memiliki populariti sendiri," katanya.

Sementara itu, pemain gitar Govinda, Ade Nurulianto berkata, kejayaan lagu Masing-Masing, mendorong mereka untuk merancang kolaborasi dengan Ernie tahun depan (2025). Lagu itu, hasil ciptaan Ade, bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada peminat, tetapi turut melonjakkan nama Ernie di Indonesia.

"Insya-Allah, Ernie akan menyanyi lagu baru ciptaan kami. Lagu sudah siap proses rakaman dan hanya tunggu masa untuk dilancarkan," katanya.

Dalam konsert itu nanti, Govinda yang turut dianggotai oleh Yosafat Luki Marendra (bes) dan Ritchie "Jeje" Ismail (dram) akan menyampaikan kira-kira 18 lagu hits, antaranya, Episode Bahagia, Tanpa Batas Waktu, Masing-Masing, Hal Hebat dan Siapa Yang Pantas.

"Setakat ini persiapan untuk konsert sudah 80 peratus siap dan kami berjanji akan ada kejutan dan kelainan terutamanya pada susunan muzik yang kami fikir ini akan menjadi pencapaian tertinggi buat Govinda," katanya.

-- BERNAMA