Berbeza dengan konsert terdahulunya, showcase kali ini bakal menyajikan persembahan lebih intim dan berskala kecil sekali gus memberi ruang kepada penyanyi kelahiran Kelantan itu lebih dekat dengan peminat yang setia menyokong perjalanan kariernya selama dua dekad.
“Sudah lama saya menyimpan impian untuk mengadakan konsert besar tetapi sebelum mencapai impian itu, saya mahu bermula dari asas, langkah demi langkah, dan menghargai setiap detik bersama peminat. Back To Basic ialah tanda terima kasih saya kepada mereka yang sentiasa memberi sokongan,” ujar Misha.
Persembahan yang dianjurkan oleh Double M Productions ini dijangka berlangsung selama 90 minit, diiringi oleh pemuzik profesional. Misha akan berkolaborasi dengan Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal, manakala Ayop Azril pula bertindak sebagai pengarah muzik bersama sembilan orang pemuzik berbakat.
Showcase ini turut menggandingkan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert dan Simon Khoo sebagai pengarah teknikal, menjanjikan pengalaman audio dan visual yang memukau, meskipun dalam skala yang lebih kecil.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu hits seperti Masihkah Ada Rasa Itu menyifatkan konsert Back To Basic membawa makna mendalam baginya.
“Showcase ini membawa saya kembali kepada zaman awal karier saya, saat di mana saya sering menyanyi di pentas kecil, tanpa banyak gimik dan penataan. Inilah konsep yang ingin saya kembalikan, sebuah persembahan yang jujur dan ikhlas," katanya.
Bagi peminat yang sudah lama merindukan persembahan langsung Misha, Misha Omar Back To Basic Showcase ini adalah peluang emas untuk merasai pengalaman dekat dan peribadi bersama bintang kesayangan mereka. Tiket showcase ini dijual pada harga RM288 (CAT 2 – tempat berdiri bebas), RM338 (CAT 1 – tempat berdiri bebas), RM388 (Mezzanine – tempat duduk bernombor), dan RM488 (VIP dengan sesi bergambar).
Jualan tiket akan bermula pada 27 November 2024, jam 10 pagi melalui platform Jiotix di www.jiotix.asia. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, peminat boleh menghubungi +6011-51003111 (WhatsApp) atau e-mel ke ask@jiotix.asia.