Ayu ketika ditemui Gempak berkata, dia dan suami Syed Fauzi Syed Baharuddin akan pergi ke pasar tani menjaja sendiri jualan mereka sekiranya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni.
“Ramai orang tanya saya tak malu jual cili di pasar? Saya cakap malu tu dah tak ada apabila kita fikirkan tentang masa depan anak-anak dan keluarga.
“Lagi pun kami mencari rezeki yang halal untuk survive selama lima tahun ini. Kami usaha dari A sampai Z.
“Melihat hasilnya sekarang, satu kepuasan buat saya,” katanya yang turut membekalkan cili kepada peniaga-peniaga kecil.
Ladang cili yang diusahakan Ayu dan suami seluas 1.4 hektar terletak di Pangsun, Batu 22, Hulu Langat, Selangor.
Sementara itu, Ayu memberitahu dia baru sahaja membeli 30 anak pokok durian Musang King untuk ditanam di atas sebidang tanah berkeluasan 2 ekar yang terletak di Perak.
“Baru-baru ini saya hadiri program FAMA dan melihat mereka jual anak pokok Musang King. Lepas kira budget saya rasa cukup untuk beli 30 anak pokok.
“Saya tak fikir panjang dan terus borong kesemuanya. Saya harap projek terbaru ini dapat berjalan dengan lancar.
“Lagi pun tanam durian tak renyah macam cili. Jadi sebulan sekali saya akan tengok pokok-pokok durian saya,” katanya teruja.
Dalam pada itu, bercakap mengenai karier seninya, penyanyi yang popular dengan lagu Di Mercu ini berkata dia sedang dalam perancangan untuk menghasilkan single terbaru.
“Alhamdulillah, sekarang dah mula slowly dalam dunia seni. Saya ada rancang untuk keluarkan single baru tapi bukan sekarang.
“Biarlah orang kata saya cerewet asalkan produk yang dihasilkan ada kualiti. Lagi pun agak sukar untuk kita ‘baca’ trend muzik sekarang.
“Terlalu cepat bertukar. Saya sendiri pun tak boleh nak catch-up dan itu membuatkan saya berfikir untuk kekalkan genre balada atau tukar genre lain,” katanya.
Ayu ditemui Gempak pada Majlis Pelancaran LeFest Mega Raya 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Bermula 2016, LeFest Tour sudah menjelajah 20 lokasi negeri terutama di Sabah, Sarawak dan Brunei dan tahun keempat ini, 500 usahawan akan berkampung di PWTC sepanjang Ramadan.
LeFest Mega Raya akan berada di PWTC bermula 8-10 Mei 2020 pada jam 10 pagi hingga 4 pagi bertemakan Balik Kampung.
Pelbagai aktiviti menarik bakal disajikan kepada penonton termasuk 50,000 hadiah percuma, family bertuah raya, IFTAR bersama selebriti dan anak-anak yatim dan tahfiz, raya boxing hour, teka duit raya, bubur lambuk percuma, balik kampung percuma, mewarna raya, kuih raya 1 balang 1 ringgit dan banyak lagi. Wow!