KUALA LUMPUR: Penyanyi latar terkenal Bollywood, Udit Narayan akan kembali ke Malaysia untuk beraksi dalam satu persembahan konsert pada penghujung tahun ini selepas kunjungan terakhirnya ke negara ini 12 tahun lalu.

Vokalis legenda itu juga ingin berkongsi inspirasi dengan penyanyi-penyanyi bakat baharu tempatan dengan menekankan pentingnya dedikasi dan daya tahan untuk berjaya dalam industri muzik.

"Nasihat saya untuk penyanyi berbakat Malaysia, terus bekerja keras, sabar dan yakin dengan cita-cita anda, " katanya dalam satu wawancara menerusi Zoom dengan Bernama dari Mumbai, India.

Udit, yang merakam lebih 25,000 lagu dalam hampir 40 bahasa sepanjang karier muziknya yang menjangkau empat dekad, akan mengadakan persembahan di Megastar Arena, Kuala Lumpur, pada 28 Disember.

Konsert berkenaan yang dianjurkan oleh VVST Digital Creation, dijadualkan bermula pada pukul 7.30 malam dan menjanjikan persembahan cukup nostalgik mengimbau era keemasan Bollywood, dengan menampilkan lagu-lagu popular dari tahun 1990-an hingga sekarang.

Malaysia, pada pandangan Udit, menghargai dunia muzik serta penyanyi-penyanyi berbakat dan untuk itu dia menggalakkan mereka untuk terus berdedikasi serta mendepani cabaran sebagai sebahagian daripada perjalanan seni mereka.

Bercakap mengenai kariernya, dia turut menyebut tentang evolusi industri muzik yang berlaku dalam dekad-dekad lepas tetapi menekankan apa yang penting adalah untuk terus kekal autentik serta tidak mudah patah semangat sebagai asas penting kejayaan yang berterusan.

Ketika mengenang semula kunjungannya ke Malaysia sebelum ini, Udit berkongsi memori sambutan hangat yang diterima daripada pelbagai golongan masyarakat.

"Ramai di Malaysia suka muzik termasuk muzik Bollywood, sama ada melodi romantis atau yang rancak," katanya, menambah, bagi persembahan pada penghujung Disember nanti, dia berharap dapat menghiburkan para peminatnya daripada pelbagai latar belakang budaya.

Udit turut mengulas rasa kagum peminat Bollywood Malaysia terhadap Datuk Shah Rukh Khan dan secara tidak langsung membayangkan dia akan mendendangkan lagu-lagu hit dari filem lakonan bintang hebat itu seperti Tum Paas Aaye dari Kuch Kuch Hota Hai serta komposisi A R Rahman Kya Kare Kya Na Kare dari Rangeela, yang menjadi kegemaran peminatnya.

Berkongsi kisah pengalaman kariernya, Udit turut menyentuh kejayaan yang dicapainya menerusi lagu ikonik Papa Kehte Hain dari Qayamat Se Qayamat Tak dan nyanyian sulungnya dalam filem Tamil Kadhalan.

"Memang menjadi impian saya untuk menjadi penyanyi," katanya. "Tetapi ayah saya mahukan saya menjadi doktor atau jurutera. Apabila lagu Papa Kehte Hain menjadi popular, anak lelaki saya Aditya Narayan dilahirkan pada tahun yang sama. Lagu itu amat istimewa buat saya."

Mengenai konsert yang bakal diadakan, Udit berkata, pasukan yang akan terlibat dalam persembahan itu terdiri daripada 20 orang termasuk isterinya dan mereka yang akan membuat persembahan.

Apabila ditanya sama ada dia berminat untuk meneroka genre lain dalam dunia muziknya, dia berkata "Muzik adalah perjalanan kreatif yang tiada noktah."

Untuk rekod, Udit adalah penyanyi latar untuk tiga orang Khan Bollywood iaitu Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Aamir Khan, di samping aktor hebat lain dalam industri filem India.

Harga tiket untuk konsert Udit adalah antara RM1,466 dan RM148, boleh dibeli menerusi platform My Ticket Asia dan vvstdigital@gmail.com.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati My Ticket Asia at https://myticket.asia/. - BERNAMA