Kata Kilafairy, seandainya ibunya masih ada, tentu sekali kedua-dua beranak itu tidak akan habis bercerita dan berkongsi kegembiraan yang sama.
Ini kerana, Udit, kata Kilafairy, seorang seniman berpengaruh yang banyak memainkan peranan dalam perkembangan kerjaya seni dia dan ibunya.
Justeru, Kilafairy, 32, menyifatkan peluang berkongsi pentas sebagai penyanyi undangan dengan Udit bagaikan mimpi menjadi kenyataan.
“Udit Narayan ada seorang figura yang sangat istimewa. Saya meminati Udit kerana merupakan peminat tegar Shah Rukh Khan dan kebanyakan lagu yang didendangkan Shah Rukh Khan dalam filem menggunakan suara Udit.
“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL, saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut kerana akan berkongsi pentas dengan seorang ikon.
“Saya juga bangga kerana ini merupakan penglibatan sulung saya dalam konsert Bollywood berskala besar, apa lagi membabitkan pesohor Udit Narayan,” kata Kilafairy berkongsi kebanggaan.
Secara peribadi, Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan sangat teruja dan berbangga untuk menjayakan Konsert Udit Narayan In KL pada 28 Disember ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Nama Kilafairy dipilih oleh pihak penganjur, VVST Digital Creation kerana kefasihannya menyanyikan lagu-lagu Hindi.
Bercerita lanjut, Kilafairy yang kini giat menjalani latihan vokal memberitahu akan membawakan sebuah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama penyanyi Syamel.
“Saya akan menyanyikan sebuah lagu solo dan berduet dua buah lagu dengan Syamel pada malam konsert itu.
“Dan sekarang saya giat menjalani latihan vokal serta mendalami lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu. Ia penting malah lagu Tamil dan Hindi juga punya lenggok berbeza,” kata Kilafairy lagi.
Ironi dunia Bollywood bukan sesuatu yang asing buat penyanyi dan pelakon ini.
Kilafairy mula menyanyi lagu-lagu Bollywood sejak berusia 8 tahun dan menonton karya-karyanya sejak kecil bersama keluarga.
Bollywood, akui Kilafiary, sentiasa membawa dirinya pulang ke masa silam, menikmati momen bersama keluarga terutama arwah ibu yang kembali ke rahmatullah pada 2023.
Pendedahan Kilafairy terhadap karya-karya seni Bollywood bermula seawal usianya lapan tahun lagi.
Ini kerana, mendengar lagu-lagu dan menonton filem-filem Hindi bagaikan tradisi dalam keluarganya
“Saya juga belajar ‘permainan’ emosi dalam dunia lakonan menerusi filem Bollywood. Saya suka bagaimana karakter diterjemahkan dan instrumen serta bunyi-bunyian dalam naskhah Bollywood.
“Maka apabila terlibat dalam Konsert Udit Narayan In KL, saya terasa pulang kembali ke masa silam saat menghabiskan momen menonton filem Bollywood.
“Kabhi Khushi Khabie Gham merupakan filem yang saya dan keluarga tonton sebanyak lima kali dan masih menangis.
“Arwah ibu saya juga sangat meminati lagu Khushiyan Aur Gham Movie dari filem Mann.
“Dan saya sendiri meminati terlalu banyak karya Udit Narayan terutama daripada filem Devdas, Mann dan Taal. Semuanya menusuk jiwa,” tambah Kilafairy.
Menaruh harapan agar Konsert Udit Narayan In KL berjalan lancar, Kilafairy juga mendedahkan akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood.
“Saya akan menyarung busana daripada pereka Shanell Harun. Tentu sahaja ia akan punya tema Bollywood namun tidak ada yang berlebihan.
“Saya akan tampil dengan gaya sederhana tapi elegan seperti penampilan selalu,” dedahnya.
Konsert Udit Narayan In KL akan menjadi saksi ikon legenda muzik Bollywood yang terkenal dengan gelaran Raja Melodi dan memiliki lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad berkarier kembali ke Malaysia selepas 12 tahun.
Sangat masyhur dengan lagu ikonik beliau, “Papa Kehte Hain,” dan persembahan beliau dalam filem “Qayamat Se Qayamat Tak”, Udit akan membawa para peminat lagu Hindustan ke zaman kegemilangan industri filem dan lagu Bollywood iaitu era 90-an sehinggalah ke hari ini.
Sementara itu, penganjur turut memaklumkan, pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur, iaitu VVST Digital Creation.
Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijanjikan tanpa sebarang masalah.