FILEM Hindi dan orang Malaysia sangat akrab. Kecintaan orang Malaysia pada filem-filem dan lagu-lagu Hindi sudah lama terpupuk.

Sekitar tahun 1970-an misalnya, filem Hindi mencetus fenomena luar biasa sehinggakan ada generasi era berkenaan mengakui pernah berkali-kali menonton naskhah-naskhah hebat seperti Bobby, Sholay, Haathi Mere Saathi dan banyak lagi.

Sekalipun zaman sudah berlalu, namun minat orang Malaysia terhadap filem Hindi masih menebal.

Ini terbukti apabila apabila deman filem dari Bollywood itu melanda Malaysia sekitar tahun 1990-an hingga 2000.

Selain filem, lagu-lagu latar dalam naskhah-naskhah Hindi juga antara yang menjadi kegilaang ramai.

Sebutkan saja tajuk-tajuk filem seperti Kuch-Kuch Hota Hai, Dilwale, Dil To Pagal Hai, Kabhi Khushi Kabhi Gham dan banyak lagi, pasti ramai yang tahu.

Nama-nama seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, Aamir Khan, Kajol, Karisma Kapoor dan Madhuri Dixit tak perlu lagi diperkenalkan. Boleh kata semua kenal!

Kadangkala tak perlu lihat rupa, dengar suara saja sudah tahu siapa gerangannya. Begitulah hebatnya penangan filem ‘Hindustan’.

Namun, zaman berlalu, kegilaan kepada filem tersebut nampaknya semakin berkurang meskipun masih ada yang mengikuti dan meminatinya.

Astro AWANI membawa anda mengimbau kembali kenangan itu dengan menyenaraikan lagu-lagu yang pasti menggamit memori mereka yang ‘layan’ hindustan pada tahun 1990-an.

1. Kuch-Kuch Hota Hai

Antara banyak-banyak lagu, mungkin inilah lagu yang paling layak diletakkan di tangga pertama. Tajuk lagu ini kalau diterjemahkan ialah “Sesuatu Terjadi”.

Bukan saja lagu, filem ini juga meletup, berulang kali ditayangkan namun berulang kali jugalah ditonton peminatnya. Auranya memang sungguh luar biasa.

Filem ini dibintangi pelakon hebat dengan teraju utamanya, tiga nama besar yang masih diingati sehingga kini, Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji.

Lagu ini adalah ciptaan Jatin Lalit, lirik pula oleh Sameer dan dinyanyikan oleh pasangan duet bersuara lunak, Udit Narayan dan Alka Yagnik.

Nah, Astro AWANI kongsikan sekali videonya. Marilah kita layan bersama-sama.


2. Koi Mil Gaya

Kalau dengar lagu ini, kepala, tangan dan kaki secara automatik pasti ikut sama bergoyang melayan alunan muzik rancaknya.

Lagu ini turut dimuatkan dalam filem Kuch Kuch Hota Hai yang di dalamnya sekurang-kurangnya terdapat empat ke lima lagu popular dan malar segar.

Koi Mil Gaya adalah hasil ciptaan Jatin Lalit, dinyanyikan oleh Kavitha Krishnamurthy, Udit Narayan dan Alka Yagnik.

Meskipun durasinya agak panjang namun ia bukanlah halangan untuk lagu ini terus menjadi siulan pada zaman itu.


3. Kabhi Khushi Kabhi Gham

Antara filem popular, sebaris dengan Kuch Kuch Hota Hai dan lagu-lagunya juga banyak menjadi siulan, dulu, kini dan mungkin selamanya.

Tajuk lagu dan tajuk filemnya sama, jika diterjemahkan, ia bermaksud “Kadangkala bahagia, kadangkala muram”.

Melodinya juga seiring dengan emosi sedih yang banyak dipaparkan dalam filem tersebut.

Nyanyian penyanyi ikon India, Lata Mangeshkar, lagu ini sekali lagi adalah hasil ciptaan Jatin Lalit dan lirik oleh Sameer.

Filem dan lagu ini memang betul-betul menyengat, kalau tak berlinang air mata bila tonton filem ini memang tak sah!


4. Bole Chudiyan

Satu lagi lagu evergreen dalam filem Kabhi Khushi Kabhi Gham, kali ini berentak rancak.

Pada penulis, kekuatan utama lagu ini mungkin di peringkat awalnya. Dengar saja, terus menusuk ke dalam kalbu penangannya. Wah!

Jalit Latin dan Sameer bergabung sekali lagi dalam menghasilkan lagu ini dan ternyata mereka mempunyai sentuhan emas, menjadi saja lagu mereka.

Lagu berentak rancak ini dinyanyikan Kavita K Subramaniam, Alka Yagnik, Sonu Nigam, Udit Narayan dan Amit Kumar.

Alunan dan kelunakan suara lima penyanyi hebat itu benar-benar menjadikan lagu itu sungguh luar biasa, tak lapuk dek zaman meskipun kita kini di alaf baru.


5. Tinak Tin Tana

Lagu ini memang popular di Malaysia, bukan sahaja kerana rentaknya yang menarik namun kerana kisah saman penyanyi dangdut popular negara, Iwan terhadap penerbit lagu berkenaan.

Melodi Tinak Tin Tana sebenarnya sangat-sangat mirip dengan lagu nyanyian dan ciptaan Iwan, Yang Sedang-Sedang Saja.

Iwan akhirnya berjaya memenangi saman yang difailkan kepada Sanjeev Darshan.

Lagu versi Hindi yang diterbitkan tanpa kebenaran daripada Iwan itu dinyanyikan Udit Narayan dan Alka Yagnik.


6. Dil To Pagal Hai

Satu lagi lagu yang sama tajuknya dengan filem, sama popular juga.

Filem arahan Yash Chopra ini ditayangkan pada 1997, dibintangi Shah Rukh Khan, Karisma Kapoor dan Madhuri Dixit.

Lagu ini adalah hasil ciptaan Uttam Singh, ditulis Anand Bakshi, dinyanyikan pasangan duet legenda, Lata Mangeshkar dan Udit Narayan.

Hebatnya pasangan duet itu, mereka menyanyi ‘live’ pun ibarat ‘telan kaset’ suaranya.


7. Kaho Naa Pyaar Hai

Sebuah lagu yang agak panjang juga namun tetap menjadi kegilaan dan sering menjadi siulan ‘abang-abang’ dan ‘kakak-kakak’ pada zaman tersebut.

Lagu ciptaan Rajesh Roshan, lirik pula oleh Ibrahim Ashq itu dinyanyikan oleh, siapa lagi kalau bukan pasangan duet hebat - Alka Yagnik dan Udit Narayan.

Menampilkan Hrithik Roshan dan Amisha Patel sebagai teraju utama filem, ternyata filem ini pecah panggung dan dari situ, nama Hrithik terus mekar di Bollywood.


8. Har Dil Jo Pyar Karega

Ciptaan Anu Malik, lirik oleh Sameer, lagu ini mungkin tidak begitu meletup seperti lagu lain namun ia tetap menjadi kegemaran pada 1990-an.

Video klip yang memaparkan badan sasa Salman Khan sebagai ‘tarikan utama’ itu, lagu tersebut berjaya mencuri hati jutaan pendengar.

Filem tersebut walaupun mendapat banyak kritikan namun lakonan hebat tiga pelakon utamanya, Salman, Rani Mukerji dan Preity Zinta sedikit sebanyak memadam kritikan berkenaan.


Imbas kembali nama pencipta, penulis lirik dan penyanyi lagu-lagu popular berkenaan, nampaknya ia hanya berlegar pada beberapa nama sahaja.

Nama-nama penyanyi seperti Udit Narayan, Alka Yagnik dan Lata Mangeshkar benar-benar menguasai Bollywood suatu masa dahulu dan pastinya sukar mencari pengganti mereka.

Apa pun, kehebatan, kelunakan, keistimewaan lagu ‘hindustan’ pernah menghiasi zaman remaja penulis dan pastinya, jutaan yang lain.

Sini penulis kongsikan lagi lagu-lagu lain yang meletup pada waktu itu, bolehlah anda cari, hilangkan rindu dan semestinya menggamit memori!

Berikut adalah senarainya: Kal Ho Naa Ho, Mohabbattein, Aakhein Kuli, Phir Bhi Dil Hai Hindustani, Mera Mann, Oh My Darling, Le Gayi dan ada banyak lagi...


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!