KUALA LUMPUR: Drama komedi Pasanga yang berjaya mengundang fenomena dalam kalangan penggemar drama tempatan sekali lagi kembali menerusi musim kedua bermula 12 Ogos ini.

Drama terbitan pelakon popular Denes Kumar dan isterinya, Dr Vimala Perumal disifatkan mempunyai tarikan tersendiri di mata peminat sehingga tampil dengan 100 episod kali ini.

Ternyata, sekali lagi gandingan Denes bersama barisan pelakon seperti Alvin Martin, Moon Nila, Thasha Krishnakumar, Sasikumar, Nithyashree, Susila Devi, Devakanni, Kabil Ganesan dan Keshap Suria, di bawah arahan Shalini Balasundaram itu bakal meninggalkan impak besar kepada penonton.

Naib Presiden Indian Customer Business (ICB), Astro, Prem Anand memberitahu, Pasanga merupakan siri Tamil tempatan pertama di Malaysia yang tampil dengan 100 episod.






Menurutnya, naskhah Pasanga sinonim dengan sentuhan tersendiri yang memaparkan kombinasi hiburan, lucu dan drama pada penyampaiannya itu menjadikan drama itu mendapat tempat di hati peminat.

"Menggunakan formula yang disulami percintaan, kekeluargaan, persahabatan serta sosio budaya masyarakat Tamil yang penuh warna warni, Pasanga mempunyai pendekatan tersendiri yang mampu menyampaikan mesej dalam setiap bingkai tanpa elemen serius.

"Dengan menempa sejarah sebagai drama Tamil Malaysia pertama yang menyayangkan 100 episod, kami berharap musim kedua Pasanga ini akan terus memikat hati penonton," katanya di sini, baru-baru ini.

Prem memberitahu, ICB akan terus menyusuri peranan sebagai saluran yang memberi peluang kepada bakat tempatan untuk mengilap seni serta memberi mereka platform untuk berkarya.

Jangan lupa saksikan Pasanga 2 di saluran 202, Astro Vinmeen pada setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam mulai 12 Ogos ini. 

Pelanggan Astro juga berpeluang menonton drama tersebut menerusi TV, Astro Go, On Demand dan juga Sooka.