SELEPAS bertahun-tahun tidak pulang ke rumah, akhirnya pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof kembali ke pangkuan ibu bapanya, Datuk Yusof Haslam serta Datin Patimah Ismail.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Patimah menerusi hantaran di Instagram pada Rabu.

Menerusi hantaran berkenaan, Syamsul dilihat mesra berpelukan dengan kedua ibu bapa sambil mendukung anak perempuannya, Sumayyah, 4, ditemani bekas isteri yang juga pelakon, Puteri Sarah Liyana.

Perkongsian itu sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa Syamsul sudah berbaik dengan ibu bapa dan Puteri Sarah demi anak-anak.

Untuk rekod, Syamsul dilaporkan sudah lama tidak berhubung dengan keluarga selepas berlaku pergolakan rumah tangga dengan Puteri Sarah hingga membawa kepada perceraian pada tahun lalu.

Konflik itu berlanjutan apabila pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu bernikah secara rahsia dengan Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, di selatan Thailand.

Bagaimanapun, Syamsul dan Ira bercerai pada 5 September lalu selepas wujud pelanggaran taklik daripada pihak isteri. - Sinar Harian