SEBUTAN kes perceraian pengarah dan pelakon Syamsul Yusof ditetapkan ke tarikh baharu iaitu 25 September depan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Taman Seri Keramat, Selangor.

Peguam mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Rais berkata kedua-dua pihak perlu hadir pada tarikh yang ditetapkan oleh hakim syarie, Maizatul Aliza Chee Din.

“Mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk sebutan semula iaitu 25 September depan, pukul 3 petang.

“Pada tarikh tersebut Ira hendaklah hadir bersama peguam dia, begitu juga dengan Syamsul.

“Kalau ikut prosedur, mahkamah akan tanya Ira sama ada setuju atau tak dengan tuntutan cerai. Jika setuju, Syamsul boleh lafaz cerai,” katanya kepada Gempak.

Azmi berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada Selasa.

Ditanya mengenai respon Syamsul mengenai tarikh sebutan semula, Azmi berkata pengarah filem KL Gangster itu akur dengan keputusan mahkamah.

“Seperti saya katakan, Syamsul memang bersedia melafazkan dan melepaskan Ira hari ini. Syamsul terpaksa akur apabila tunda tarikh baharu. Saya difahamkan mereka memang tiada kesefahaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmi turut berkongsi keadaan Syamsul berhubung kemelut rumah tangganya.

“Syamsul nampak tenang sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Azmi turut memberitahu tidak mengetahui mengenai dakwaan lafaz cerai di luar mahkamah yang dibuat anak guamnya.

Azmi berkata, Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, juga tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

“Setakat ini saya tidak menerima sebarang maklumat mengenai lafaz di luar mahkamah. Saya juga tidak menerima saman atau dimaklumkan oleh Syamsul berkaitan hal ini.

“Syamsul hanya memfailkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS),” katanya. -- Gempak