KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Aspalela Abdulah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar pukul 10 pagi tadi.

Allahyarham yang bakal genap usianya 80 tahun pada 30 Januari depan sebelum itu jatuh dalam bilik air di kediamannya di Taman Melati, ibu negara.

Menurut cucu Allahyarham, Puteri Wan Nur Izzati Azhari, dia dan ahli keluarganya menyedari neneknya terjatuh semasa bangun menunaikan solat Subuh.

“Mungkin nenek terjatuh ketika mahu membersihkan diri untuk menunaikan solat Subuh.

“Sebaik melihat keadaan nenek, kami segera menghubungi ambulans dan membawanya ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

“Namun, doktor memaklumkan nenek meninggal dunia sekitar pukul 10 pagi tadi,” kata Nur Izzati kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Nur Izzati berkata, sepengetahuannya, Allahyarham Aspalela tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang serius, sebaliknya, neneknya mempunyai masalah darah tinggi dan kolestrol yang terkawal.

Kata Nur Izzati, dari HKL, jenazah neneknya akan dibawa ke Masjid Salahuddin al-Ayubi, Taman Melati, di sini, sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Asar kelak.

Pernah meraih juara Bintang Radio 1968, Allahyarham Aspalela merupakan penyanyi lagu-lagu Melayu asli
yang sangat disegani ramai.

Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham pernah merakamkan lima buah abum.

Allahyarham Aspalela menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat dan melalui pernikahan itu, pasangan tersebut dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Bagaimanapun, anak bongsu Allahyarham Aspalela dan Raja Ismail menghembuskan nafas terakhir beberapa tahun lalu.

Allahyarham Aspalela juga mempunyai tiga orang cucu.

Selepas tidak lagi aktif menyanyi, Allahyarham Aspalela memberi tumpuan pada aktiviti marhaban dan bacaan Yassin bersama-sama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN).