TIADA kumpulan rock di dunia yang mampu mengembalikan memori zaman seluar ketat di Malaysia sepertimana kugiran dari Jepun ini.

Loudness, kuartet yang tidak perlu diperkenalkan lagi sudah bertapak lama bukan hanya di persada muzik rock di era malah di hati setiap peminat.
Tiada siapa boleh menyangkal pengaruh yang dibawa kumpulan ini dengan imej 'glam'nya.

Berbanding kumpulan rock lain, Loudness berjaya mencorak trend semasa, hadir dengan imej yang menjadi ikutan peminat kebanyakan.

Maka tidak hairanlah kemunculan mereka saban tahun masih menggamit keterujaan.
Loudness suatu ketika dahulu.

Bukan rockers namanya ketika itu kalau tak kenal Loudness. Malah tidak sah kalau tidak terjumpa sekurang-kurangnya seorang mat rock yang memakai trademark baju bermotif sinar mentari merah putih - imej yang dipopularkan gergasi heavy metal dari Jepun ini yang bukan sahaja menjadi ikutan muda-mudi malah kalangan kumpulan rock tempatan.
Itulah yang dirasai penulis ketika berpeluang menyaksikan konsert jerayawara Loudness di ibu kota malam tadi.

Membesar dengan lagu-lagu malar hijau kumpulan dari negara matahari terbit ini, peluang untuk melihat sendiri sosok yang pernah menghiburkan rakan-rakan sekolah dahulu tidak dilepaskan.

BACA: Loudness bakal gegar pentas Malaysia dalam konsert jelajah Rise to Glory
Biarpun sudah mencecah usia 50-an, namun jauh sekali mereka menghamparkan persembahan sambil lewa ketika beraksi atas pentas di The Bee, Publika yang dipenuhi lebih 500 peminat yang menunggu sejak jam 5 petang.

Malah, kalangan peminat turut tampil dengan gaya rockers era 80-an -- rambut panjang mengerbang dipadankan dengan seluar ketat -- yang pastinya mengimbau kembali kenangan kegemilangan irama rock suatu ketika dahulu.

Penampilan peminat dengan gaya rock era 80-an ini menggamit kenangan era kegemilangan irama rock.

Peminat begitu sabar walaupun terpaksa menanti sekitar 40 minit selepas persembahan pembukaan oleh dua kugiran tempatan Jemson dan Farasu.

Sebaik saja ahli kumpulan mengambil tempat, dewan menjadi gempita dengan sorakan hadirin. Rindu sekian lama kini terubat.
Dimulakan dengan lagu "Soul on Fire" daripada album terbaharu "Rise to Glory", pentas terus dihangatkan dengan lagu-lagu baharu dan juga yang pernah menjadi siulan ramai satu ketika dahulu.

Ruang dewan yang kecil bergema dengan sorakan peminat yang turut sama menyanyikan lagu-lagu wajib dan evergreen seperti "So Lonely", "Heavy Chains", "Crazy Night" dan "Like Hell."

Menginjak usia emas, kuartet ini masih gagah beraksi di atas pentas. Vokalis Minoru Niihara masih mampu mengekalkan suara seperti nyanyian asal namun dipendamkan sistem audio yang agak bingit yang mengaburi kekuatan suaranya.
Aksi gila-gila Minoru sebagai frontman di atas pentas juga agak menghiburkan. Mungkin komunikasi agak terhad namun itu bukan penghalang penonton memahami apa yang cuba disampaikan.

Loudness

Namun tumpuan pastinya terarah kepada Akira Takasaki, antara gitaris terhebat dunia yang terkenal dengan kecepatan dan ketepatan bermain gitar di atas pentas.

Penampilan Akira dengan persembahan gitar solonya amat dinanti-nantikan para peminat.

Loudness

Sedikit ralat pada persembahan mereka kali ini apabila pemain dram Masayuki Suzuki tidak dapat bersama kerana masalah kesihatan dan digantikan dengan Ryuichi Nishida.

Namun apabila Ryuichi tampil penuh bertenaga dalam persembahan dram solo "Kama Sutra", semua itu bukan lagi isu.
Konsert Loudness malam tadi, sejujurnya, bukanlah persembahan terbaik mereka. Bagi penulis, pemilihan venue malam tadi tidak menggambarkan kekuatan kuartet dari negara matahari terbit ini, malah hampir meredam kehebatan kumpulan rock legenda yang sudah bertapak sekian lama.
Situasi padat penonton itu juga mungkin penyebab pendingin hawa tidak dapat menampung 'kehangatan' konsert dengan sebaiknya.

Bukan hanya penulis dan penonton lain terasa bahangnya, malah vokalis Minoru dilihat sesekali menyeka peluh.

Loudness
Daripada segi susun atur pula, pengkelasan pengunjung hanya dibezakan dengan penghadang besi dengan ruang yang amat sedikit untuk bergerak.

Mendengar komen beberapa pengunjung, rata-rata peminat di zon VIP, ruangnya hanya sekitar 3 meter. Pilihan lain ialah beberapa bar stool di sisi kanan pentas yang tidak menyajikan sudut pandang yang begitu menarik.

Loudness

Jika di konsert-konsert sebelum ini penulis bebas mencari spot menarik untuk merakam gambar dan video suasana, namun kali ini hanya terperap di satu lokasi dan tidak dapat bergerak bebas dek kepadatan penonton di hadapan pentas.

Namun di sebalik semua itu, secara keseluruhannya Akira, Minoru, Masayoshi dan Ryuichi berjaya menggamit semula memori era kegemilangan irama rock tanah air hanya melalui kehadiran mereka.

Kalau dahulu, penulis hanya mampu ke fun fair untuk mendengar lagu-lagu Loudness dinyanyikan kumpulan rock tempatan, kali ini kuartet legenda ini berada di depan mata. Bak kata orang, better late than never.

Bagi penulis, sewajarnya konsert sehebat ini diadakan di venue lebih besar dengan sistem audio lebih mantap sesuai dengan jenama gemilang Loudness yang sudah dianggap legenda dalam arena muzik rock dunia.