KUALA LUMPUR: Peminat muzik era 90-an bakal berpeluang mengimbas kembali memori zaman itu menerusi Konsert Telan Kaset 90-an yang menghimpunkan 17 penyanyi legenda tanah air di Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor pada 12 dan 13 Okt depan.

Jurucakap penganjur Baizura Tahir berkata antara artis yang dijadual membuat persembahan ialah Rahmad Mega, Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik, Kasawari, Roy, Amir Ukay's, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad dan Zamani.

"Konsert itu merupakan sebahagian daripada acara Festival Muzik Vits anjuran jenama mi segera popular tanah air, Vit's dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia.

"Konsert itu juga bertujuan mengumpul dana buat Persatuan Karyawan Malaysia melalui jualan tiket, seterusnya digunakan untuk membantu artis veteran dan karyawan yang sakit atau uzur, selaras dengan matlamat penubuhan persatuan tersebut," katanya.

Selain itu, kata beliau, lebih 80 reruai yang menawarkan pelbagai jenis makanan berasaskan mi turut disediakan di festival tersebut di samping aktiviti riadah menerusi permainan berkonsepkan karnival yang sesuai untuk seisi keluarga.

"Pengunjung yang hadir dengan pakaian berkonsep 90-an seperti rock, hip hop mahupun dangdut, bakal menerima hadiah daripada pihak penganjur, dan atas permintaan ramai di media sosial yang mahukan pertandingan karaoke diadakan, pihak Vit's mengalu-alukan pengunjung mengambil bahagian dalam acara itu yang menawarkan pelbagai hadiah menarik," katanya.

Tiket Konsert Telan Kaset 90-an yang berharga RM45 boleh dibeli di laman web Ticket2u.com.my.

-- BERNAMA