Peminat program hiburan Big Stage dikejutkan dengan pemergian salah seorang pesertanya, Sandra Dianne.

Kehilangan penyanyi yang popular dengan lagu Hey! Kau itu memberikan impak kepada semua peserta Big Stage termasuk, Farisha Iris.

Menurut Farisha, sepanjang perkenalan dengan Sandra, Allahyarham merupakan seorang yang tidak banyak bercakap.

" Sandra seorang yang pendiam, tidak banyak bergurau dan akan bercakap bila perlu sahaja.

"Tapi beberapa hari sebelum kejadian, kami dah mula create memory, kami bergurau dan dah lepak sama-sama," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.

Farisha juga berkongsi momen manisnya bersama dengan Sandra sepanjang perkenalan mereka dalam program tersebut.

Menurutnya, mereka pernah menangis bersama-sama semasa kelas vokal yang dikendalikan oleh Cikgu Shafi.

"Sandra seorang yang susah untuk ketawa dan menangis. Kami selalu anggap dia seorang yang kuat tapi ada sekali dalam kelas Cikgu Shafi dia menangis selepas cikgu bagi motivasi.

"Kami menangis sama-sama selepas kelas, bagi saya itu adalah momen yang akan saya ingat sampai bila-bila," tambahanya


BACA : Sandra Big Stage masih dalam ICU, kedudukannya diumum malam ini

BACA : Biarpun baru mengenali Sandra, pertemuan itu sangat indah - Cikgu Shafi



Dalam masa sama, Farisha juga memaklumkan bahawa Sandra pernah memberitahu, antara sebab Allahyarham menyertai Big Stage ialah untuk mencipta memori bersama dengan rakan-rakan dalam program berkenaan.

Pada 5 September lalu, Sandra, atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Insiden tersebut berlaku ketika penyanyi kelahiran Sabah itu dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk menjalani sesi latihan penuh konsert minggu keempat.

Ekoran kemalangan itu, Sandra tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

Allahyarham Sandra menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Jumaat dan jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya iaitu di Kg. Kauluan, Tuaran, Sabah.

BACA: Bintang Big Stage 2020, Sandra Dianne meninggal dunia



Pemergian Sandra pada usia 26 tahun sangat mengejutkan rakan-rakan Big Stage lain yang turut menzahirkan penghormatan terkahir mereka buat sahabat mereka.