KESEDIHAN kerana abang tercinta, Abam pulang ke rahmahtullah pada Isnin lalu masih belum hilang dalam diri Ali Puteh.

Namun, selang beberapa hari Allah memanggil abangnya, Ali dikurniakan rezeki yang tidak pernah dijangka.

Isterinya, Melati Fitri Abdullah disahkan hamil enam minggu - berita yang tidak pernah disangka-sangka oleh pelawak terkenal itu.

Berita itu disambut dengan penuh kesyukuran.

Pemergian Allahyarham Abam yang dirasakan oleh setiap ahli keluarga bakal digantikan dengan kehadiran seorang lagi cahaya mata buat Ali.

“Syukur padaMu ya Allah... sesungguhnya Dialah sebaik-baik perancang.

"Hanya itu yang mampu saya ungkapkan buat masa ini. Di kala saya sedang berduka, Dia berikan kegembiraan buat kami sekeluarga.

“Betapa hebatnya aturan Allah, Dia gantikan arwah Ainul dalam masa yang tidak terduga ini.

“Cuma, kalau arwah Abam ada dia pasti sangat gembira dan teruja,” katanya penuh sebak seperti dilaporkan portal hiburan Gempak.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd meninggal dunia dalam tidur pada usia 32 tahun.

Pemergian Abam mengejutkan seluruh industri hiburan tanah air serta peminat-peminatnya kerana Allahyarham sangat terkenal sebagai seorang personaliti yang memiliki keperibadian yang menawan.

Ribuan orang memberikan penghormatan terakhir ketika Allahyarham Abam dikebumikan dan kenalan-kenalan rapatnya banyak berkongsi kerja-kerja kebajikan yang dilakukan pelawak itu ketika hayatnya.


BACA: "Kalau kita baik, semua orang sayang kita," - nasihat Allahyarham Abam Bocey


BACA: "Abam cari rezeki kuat bantu mak dan adik" - Ustaz Ebit Lew kongsi kisah arwah Abam


BACA: Tangisan Fad Bocey undang sebak


Ditanya mengenai kandungan isterinya, Ali memberitahu pemeriksaan berkala akan dilakukan mengikut prosedur seperti biasa.

“Insya-Allah, kami akan pergi ke klinik dan jalani pemeriksaan macam ibu hamil lain.

“Cuma bezanya kali ini, mungkin isteri akan diberikan lebih perhatian kerana pernah ada ‘history’ (anak mengalami jantung berlubang).

“Apa pun terima kasih kepada anda semua yang telah banyak mendoakan kami sekeluarga, hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.

Pada 26 November lalu, Ali kehilangan puteri keduanya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah yang disahkan meninggal dunia kerana jantung berlubang dan mengalami masalah injap jantung terbalik.

Ainul menghembuskan nafas terakhir ketika usianya tiga bulan selepas 17 hari dirawat di hospital.

Selain Ainul, hasil perkongsian hidup bersama isterinya Ali mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun, Sharifah Nur Aaira Qaireen.