UMUM mengetahui tanggal 7 Mac (hari ini) merupakan keputusan bagi sebutan kes permohonan cerai antara pelakon Puteri Sarah dan pengarah Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, dalam menanti keputusan tersebut, ibu kepada Syamsul iaitu Datin Patimah Ismail ada memuat naik satu hantaran di Instagram Stories sehingga menyorot perhatian ramai.

Menerusi hantaran tersebut, Patimah berkongsi sekeping gambar menantunya, Puteri Sarah serta dua orang cucunya, Syaikul Islam dan Summayah beserta titipan doa agar tuhan sentiasa bersama mereka.

“Di manakah pelindung kalian? Semoga Allah bersama mu” tulis Patimah ringkas.



Malah, apa yang mengundang sebak adalah apabila Patimah turut menggunakan lagu berjudul Belum Siap Kehilangan nyanyian penyanyi Indonesia Stevan Pasaribu pada hantaran tersebut.

Melihat kepada lirik lagu berkenaan jelas membawa maksud seseorang itu tidak sanggup dan belum bersedia untuk kehilangan orang yang disayangi.

Ia sekali gus memberi bayangan bahawa Patimah belum bersedia untuk kehilangan Puteri Sarah dan cucunya, Syaikul Islam dan Summayah sekiranya mahkamah memutuskan anak dan menantunya itu berpisah.

Untuk info, permohonan cerai tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Konflik rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi Syamsul tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Bagaimanapun pada Januari lalu, Syamsul akhirnya mengaku sudah bernikah dengan orang ketiga yang didakwa menjadi punca keretakan rumah tangganya bersama Sarah iaitu pelakon Ira Kazar.

Susulan pendedahan tersebut, topik mengenai kemelut rumah tangga Sarah dan Syamsul serta kehadiran Ira Kazar menjadi topik hangat dalam kalangan netizen.

Untuk info, Sarah dan Syamsul telah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata, Syaikul Islam 5, dan Summayah 3.

* Artikel asal disiarkan di Gempak.