Berpeluang untuk menyaksikan ratu rock negara Ella beraksi di atas pentas bukanlah pertama kali untuk saya. Pelbagai konsertnya, baik di tapak pesta mahu pun stadium telah saya penuhi.

Namun, apabila Ella berpeluang untuk menjadi tamu solo di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas tidak sesekali akan saya lepaskan. Kali ini Ella diiringi oleh Malaysian Philharmonic Orchestra dibawah pimpinan konduktor orchestra terkenal, Ahmad Muriz Che Ros.

Ini merupakan kali kedua Ella beraksi di pentas DFP selepas menjadi artis undangan dalam konsert MPO Rocks untuk DFP Seni Festival pada tahun 2013.

Namun, ini merupakan konsert penuh beliau bersama MPO yang akan membawa penonton menyelusuri perjalanan seni beliau, bertepatan dengan tema konsert, A Rock Queen’s Journey.

Apa lagi yang mahu saya saksikan apabila membuat keputusan untuk menonton konsert ini yang tiketnya saya beli di minit-minit terakhir sebelum dipamerkan tanda SOLD OUT!? Ella di era The Boys telah saya tonton, Ella di zaman solonya juga telah saya nikmati. Ella di zaman “gedik”nya yang gemar bermain rambut terus bermain dalam fantasi kita.

Jadi, apa lagi?

Tidak puas! Itulah yang dapat saya simpulkan sewaktu menonton Ella beraksi lebih sopan dan berhati-hati bersama hampir 100 pemuzik orkestra filharmonik negara. Membuka pentas dengan lagu Nuri disambut jeritan lebih satu ribu peminatnya untuk dua malam berturut-turut.

Ella

Antara lagu-lagu malar segarnya yang diberikan interpretasi simfoni MPO seperti Pengemis Cinta, Pedih, Rindu, Layar Impian, Bayangan, Kesal, Dua Insan Bercinta, Sembilu, Gemilang, Demi dan hit terbaru beliau, Ku Sedia.

"I rasa I nak bukak kasut” itulah keselambaan Ella Aminuddin yang tiada satu pun perlakuannya di atas pentas yang menjadi dosa kepada peminatnya.

Kelicikannya benar-benar menguji perasaan penonton yang rata-rata telah mengekori perjalanan yang sama cukup 30 tahun beliau di pesada seni tempatan.

Ella1

Buatlah apa sahaja


Waima “Dah masuk dah” yang menjadi pembuka lirik lagu ikonik Standing In The Eyes of The World. Pun kita maafkan kerana dia adalah Ella yang mempesonakan kita dengan nyanyiannya, gerak lakunya di pentas cukup memukau.

Beberapa kali dia membetulkan tudungnya dari tertanggal. “Jangan viralkan ya! YouTube pun jangan”. Dari seorang penyanyi yang sentiasa menjadikan mahkotanya sebagai aset di atas pentas, malam itu dia seboleh-bolehnya mahu memelihara aset tersebut dari dilihat peminatnya.

Ya, itulah keseksian yang sentiasa menjadi tarikan yang tidak dapat ditonton malam tadi namun bila melihatkan perubahan itu kita sebagai peminatnya timbul rasa kagum dan bangga dengan beliau.

Kekal bertahan selama 30 tahun bukan satu masa yang singkat. Cabaran yang dilalui bukan sesuatu yang mudah. Di zaman beliau masih baru menapak bersama The Boys berpuluh tahun dulu, sekiranya ada persembahan di fun fair Pandamaran sekalipun tetap akan saya tonton.

Apabila popularitinya memuncak dan media mula mengejarnya untuk mendapatkan cerita mengenai lelaki pilihannya bukan sekali dua gossip yang melanda diri penyanyi itu. Namun, Ella bijak dan tahu menjaga eksklusivitinya untuk terus kekal bertahan hingga kini. Lihat sahaja contoh selebriti popular tanah air yang tahu menjaga harga mereka seperti Sheila Majid, Zainal Abidin, Anuar Zain antara contohnya.

Malam Sabtu lalu, Ella meletakkan dirinya di tahap paling tinggi setelah berpeluang beraksi dengan Malaysian Philharmonic Orchestra di Dewan Filharmonik Petronas sebaris Allahyarham Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk M.Nasir, Datuk Zainal Abidin dan Datuk Siti Nurhaliza.

Pedih versi orkestra sememangnya memedihkan dan merentap perasaan. Layar Impian mengembalikan nostalgia manis peminatnya. Sembilu membawa fenomena lagu tersebut kembali segar di ingatan penonton. Standing In The Eyes of The World memberikan sedikit sinar harapan yang hilang. Gemilang seakan mengembalikan keyakinan untuk kita sama-sama terus mencipta pelbagai kegemilangan untuk negara ini.

Namun, kalaulah ada segmen medley khas untuk lagu-lagu bersama The Boys atau pun medley lagu yang liriknya ditulis oleh Allahyarham Rosli Khamis ataupun nama penanya, Loloq pasti lebih meninggalkan kesan buat peminatnya.

Syabas Ella!