MESKIPUN dengan situasi di seluruh dunia yang kini berdepan cabaran dan halangan akibat penularan COVID-19, segala kenangan percutian dan pelancongan tidak seharusnya ‘dimatikan’ begitu saja tanpa sebarang azam dan harapan.

Dunia ternyata akan berubah selepas ini dengan amalan normal baharu dalam segenap aspek kehidupan, namun bukan suatu yang tabu jika seseorang itu menghargai pengalaman mengembara, seterusnya menilai setiap sesuatu dengan mata, hati dan fikiran.

Begitu juga dengan penyanyi dan pengacara, Hady Mirza, yang berkongsi detik manis percutian ke Dubai pada awal Februari lalu bersama isterinya, Nurjannah Nur Wahid, sekali gus menjalani penggambaran program Romantika Raya untuk siaran Astro Ria.

Bagi Hady yang mengakui destinasi itu adalah kunjungan sulungnya, hadiah percutian susulan kemenangannya dalam program Gegar Vaganza musim keenam itu benar-benar suatu kesempatan berharga dan membuka mata.

Deretan penginapan villa dan kondominium mewah di sepanjang bandar pinggiran air Dubai Marina. - Astro AWANI

Hady yang pernah ke Arab Saudi dan Jordan sebelum ini mengakui dirinya hanya mengetahui tentang Burj al-Arab dan beberapa tarikan lain, namun apabila menjejakkan kaki sendiri di kota Dubai, pengalaman yang dinikmati adalah lebih daripada yang dibayangkannya.

Membandingkan infrastruktur dan pembangunan bandar pinggiran air Dubai dengan negara asalnya, Singapura, Hady mempunyai pandangan peribadi sendiri.

“Dubai bukan mirip Singapura... Singapura yang mencuba untuk menjadi mirip Dubai. Kalau dibandingkan seperti Clark Quay yang ada sungai dan ada bot yang bawa pelancong untuk ke laut untuk menikmati matahari terbenam, Singapura pun ada, tetapi skala di sini ialah macam 50 atau 100 kali lebih gah,” kata Hady.

Selain menginap di sebuah hotel di kawasan mewah pinggir laut di Dubai Marina, pasangan ini sempat menghabiskan percutian singkat mereka dengan menikmati detik matahari terbenam dengan menaiki bot siar, menyertai aktiviti Sea TREK DI resort Atlantis, di hujung projek tambak mega, The Palm.

Mereka juga sempat membeli-belah di Dubai Outlet Village selain menghayati suasana tarikan lampau di Deira, yang lebih tradisional.

Bercakap tentang kemewahan, pasangan ini sempat berseloroh tentang pemilikan kenderan mewah yang banyak mereka temui di jalanan Dubai.

“Mereka beli kereta mewah macam beli kereta mainan. Bersepah-sepah kereta mewah!” celah Jannah.

Tambah wanita itu, dia sangat menginginkan kemudahan dan tarikan yang ditemuinya di Dubai, dapat diadaptasi ke bandar raya asalnya, Johor Bahru.

“Saya nak tempat yang saya berada ini, akan ada di Johor. Dengan pantai buatannya dan segala pemandangannya yang cantik. Bayangkan dari hotel saja kita sudah boleh nampak ikan jerung (di ruang akuarium marin),” ujarnya yang mengulas tentang tarikan nilai tambah untuk penginapan di Hotel Atlantis.

Jika diberikan peluang lebih lama di Dubai, Hady dan Jannah berkata, mereka mahu mendekati gaya hidup masyarakat Badwi di padang pasir, selain melihat keseluruhan pembangunan kota itu dari altitud tinggi dari Burj Khalifa.

“Kami rasa kalau ada yang belum pernah ke Dubai, mesti nak kena datang ke sini. (Selain menikmati suasana), sedikit sebanyak untuk lihat bagaimana kekayaan di negara ini berbeza dengan negara kita,” ujar Hady yang mengajak pelancong menilai skala pembangunan, kehebatan seni bina pencakar langit, kelancaran lebuh raya bebas tol, tarikan gedung beli-belah, makanan dan juga layanan terhadap pelancong.

Hady dan Jannah bersama tenaga produksi Gegar Vaganza bergambar di pantai buatan Atlantis The Palm. - Astro AWANI

Berikut adalah antara lokasi menarik di Dubai yang sempat dilawati oleh Hady dan Jannah dalam percutian tajaan SelamatBercuti.com:



Dubai Marina

Pembukaan terusan dari Teluk Parsi yang megalirkan air laut membelah padang pasir telah menghasilkan bandar tebingan laut. Ini disifatkan antara detik terawal bermulanya sejarah moden Dubai. Merangkumi zon Pelabuhan Jebel Ali, Dubai Internet City dan Dubai Media City. Projek bernilai berbilion-bilion dolar ini dihuni komuniti antarabangsa dalam ledakan gaya hidup terkini dan bayangan masa depan. Akses laluan tebing terusan sepanjang marina membolehkan orang ramai terhubung dengan pelbagai hentian menarik hinggalah disapa pemandangan Palm Jumeirah, termasuk di zon pantai paling happening di Jumeirah Beach Residence.

Pemandangan menarik di tebingan Dubai Marina pada waktu malam. - Astro AWANI

Atlantis, The Palm

Sebuah lokasi penginapan mewah dengan gaya oasis yang terletak di penghujung 'pucuk' projek tanah tambak The Palm. Memanjakan tetamu dengan layanan eksklusif berkelas tinggi, kemudahan yang ditawarkan di lokasi ini termasuklah penginapan gaya resort tropika, hamparan pantai buatan dan jelajah dengan helikopter. Selain itu para tetamu juga bolehmenyertai aktiviti akuatik di taman tema Aquaventure Waterpark, melawat akuarium marin dan selaman terbimbing, serta mendekati hidupan marin unik seperti anjing laut yang jinak dan pintas di pusat Sea Lion Discovery.

Pandangan udara Atlantis The Palm yang menyambut tetamunya dengan layanan eksklusif dan elemen hiburan santai untuk sekeluarga.

Deira

Hanya dengan menaiki dhow untuk menyeberang Dubai Creek ke sebelah Timur, pelancong boleh mengenali sisi tradisional Dubai. Deira adalah pusat perdagangan penting suatu masa dahulu, dengan tarikan khazanah rempah ratus berharga seperti kulit kayu manis, lada hitam, vanila dan safron. Pelbagai tarikan barangan dapat disaksikan di zon pasar aatau souk – daripada perhiasan emas eksklusif, pakaian, tekstil hinggalah ke barang keperluan rumah.

Deria bau pastinya terangsang dengan pelbagai aroma rempah ratus yang dijual di Spice Souk, Deira. - Unsplash

Dubai Outlet Village

Jika jenama fesyen menjadi buruan, ini lokasi yang wajib dikunjungi. Dubai Outlet Village menggoda pelanggan dengan pelbagai pilihan dalam ruang seni bina bertema Tuscan dari zaman pertengahan. Di sini, jenama runcit kelas tinggi diiringi elemen gaya hidup lain seperti tarikan santai interaktif dan pengalaman gastronomi antarabangsa, merentasi lebih 100 hentian butik.

Masa untuk berbelanja! Dubai Outlet Village menanti kunjungan pelanggan dengan pelbagai tawaran menarik. - Flickr \ Abed El Hafiz El Masri

** Jangan lupa saksikan momen manis percutian ini dalam program Romantika Raya Hady Mirza & Jannah di Astro Ria pada Khamis, 28 Mei 2020, jam 12 tengah hari.