BINTANG Gegar Vaganza musim 11 (GV11) Zehra Zambri akui sebak sebaik sahaja nama Illa Sabry dan Reshmonu diumumkan sebagai bintang yang tersingkir di minggu keenam.


Ringkasan AI
  • Zehra Zambri merasa sebak apabila Illa Sabry dan Reshmonu, yang rapat dengannya, tersingkir dari Gegar Vaganza musim 11 (GV11) pada minggu keenam.
  • Zehra menganggap Illa dan Reshmonu seperti kakak dan abang, kerana mereka sering memberi nasihat dan mengambil berat tentang dirinya.
  • Zehra berharap Illa dan Reshmonu akan terus semangat dan kembali aktif dalam industri muzik, walaupun tersingkir dari GV11.



Sebak Illa Sabry & Reshmonu tersingkir, paling rapat


Menurut Zehra, dua bintang itu merupakan yang paling rapat dengan dirinya dan sudah dianggap seperti kakak dan abang.

“Terkejut sebab dua penyingkiran dan mereka berdua agak rapat dengan saya dan saya sudah anggap seperti seorang kakak dan abang.

“Mereka banyak memberi nasihat dan mengambil berat. Sebagai contoh, bilik rehat saya dan Illa berdekatan dan kami sering berjumpa.

“Jadi saya agak sebak dan terkejut apabila diumumkan dua penyingkiran sekali gus,” katanya kepada Gempak.

Zehra berkata demikian ketika ditemui usai konsert keenam GV11 bertempat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.


Tersingkir bukan bermakna tak bagus

Dalam pada itu, Zehra juga berharap agar Illa dan Reshmonu kembali memeriahkan industri muzik.

“Kita tak tahu lagi kan apa lagi kejutan yang akan datang, begitulah GV punya penangan. Tapi kita tahu bila tersingkir daripada GV ini bukan bermakna mereka tak bagus.

“Mungkin nasib masih menyebelahi kami yang lain. Insya-Allah saya harap ukhwah kita akan berkekalan walaupun ada yang kecundang.

“Saya harap Illa, Reshmonu terus semangat dan kembali aktif menyanyi semula di lapangan yang terbaik untuk kembali semula memeriahkan industri seni,” katanya.

Minggu keenam menyaksikan Illa dan Reshmonu diumumkan sebagai bintang yang tersingkir.

Kesemua bintang diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S selaku ketua juri.

GV11 dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse namun bermula minggu keenam, pelakon, Sherry Alhadad menggantikan tempat Jihan yang bakal bersalin tidak lama lagi.

GV11 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.

Rancangan ini juga dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104). -Gempak