Anugerah ini merupakan penghargaan kepada pihak-pihak yang telah memberikan sumbangan besar dalam menyebarkan mesej dakwah di negara ini.
Majlis berprestij anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada para pendakwah dan rakan kolaborasi dakwah dari pelbagai latar belakang.
Majlis ini turut dirasmikan oleh Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menekankan kepentingan menyebarluaskan nilai-nilai Islam secara inklusif dan berkesan.
ZAYAN, sebagai sebuah stesen radio yang berteraskan kandungan Islamik, menerima anugerah ini sebagai hasil dedikasi dan komitmennya dalam menyampaikan mesej dakwah secara konsisten melalui medium radio dan platform digital.
Pengurus Jenama ZAYAN, Wan Syahrul Amry, berkata. "Anugerah ini adalah satu penghargaan besar kepada kami di ZAYAN. Ia mencerminkan usaha kami dalam menyediakan kandungan berunsur dakwah yang relevan dan menarik, sama ada di corong radio mahupun di platform digital.
Anugerah ini juga didedikasikan kepada seluruh penyampai ZAYAN yang sentiasa komited menyampaikan dakwah, walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam era digital ini."
Beliau turut menambah, "ZAYAN akan terus menghasilkan kandungan berkonsepkan Islamik yang terbaik, selaras dengan DNA kami dan tagline ‘Destinasi Nasyid Anda.’ Kami percaya usaha ini bukan sahaja menyemarakkan dakwah tetapi juga mendekatkan pendengar kepada nilai-nilai Islam secara kreatif dan inklusif."
Dengan kemenangan ini, ZAYAN bertekad untuk terus memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai destinasi utama bagi mereka yang mencari kandungan Islamik yang segar, relevan, dan menginspirasi.
Layari laman web ZAYAN di https://zayan.syok.my/ untuk meneroka pelbagai kandungan Islamik terkini. -- Gempak