Sebagai peminat tegar filem adiwira, filem Deadpool ini telah saya nantikan sejak karakter ini muncul dalam filem X-Men Origins pada tahun 2009.

Berdasarkan trailer filem serta promosi yang dibuat menjelang tayangan filem ini di pawagam, Deadpool digambarkan sebagai seorang adiwira yang lari dari sifat konvensional.

Filem ini mengisahkan bagaimana Wade Wilson, yang dimainkan Ryan Reynolds, berubah dari seorang bekas tentera Special Forces yang telah menjadi askar upahan, kepada Deadpool.


Tembual eksklusif Hitz fm bersama bintang Deadpool, Ryan Reynolds

Selain itu, ia turut menyusuri misi Wilson untuk membalas dendam ke atas watak jahat, Ajax (dimainkan Ed Skrein), makhluk mutan yang mampu menahan kesakitan, yang telah bertanggungjawab memutasikan Wilson melalui satu eksperimen yang juga telah mengakibatkan Wilson menjadi hodoh.

Namun, melalui eksperimen tersebut, Wlison telah mendapat kuasa pemulihan dan sejak itu dia memilih memakai topeng dan menjadi Deadpool.

Berdasarkan persembahannya dalam filem, Reynolds telah berjaya menjiwai karakter Deadpool ini yang sering berjenaka, walaupun ketika menentang musuh.



Dengan dialog yang lucu melalui interaksi, Reynolds bersama watak lain serta koreografi aksi yang kemas, filem ini menghiburkan dari mula sehingga akhir.

Ia membuktikan Reynolds mampu memainkan watak adiwira selepas filem adiwira beliau sebelum ini, Green Lantern menerima kritikan teruk.

Filem ini juga memaparkan elemen percintaan melalui kisah di antara Wilson (sebelum dia menjadi Deadpool) dengan penari eksotik Vanessa, yang wataknya dimainkan Morena Baccarin.

Filem ini mengisahkan bagaimana Wade Wilson, yang dimainkan Ryan Reynolds, berubah dari seorang bekas tentera Special Forces yang telah menjadi askar upahan, kepada Deadpool.
Ditambah dengan kemunculan watak Colossus dan Negasonic Teenage Warhead, ahli X-Men menambah kerancakan aksi sepanjang filem ini.

Pastikan anda tunggu sehingga akhir kredit filem jika ingin melihat babak tambahan melibatkan watak utama filem ini.

Deadpool diarahkan oleh Tim Miller dan lakon layar ditulis oleh Paul Wenick dan Rhett Reese.

Ia akan mula ditayangkan hari ini.