Jenazah seniman Datuk Aziz Sattar yang meninggal dunia awal pagi tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussein Onn, Cheras Perdana pada kira-kira 2.10 petang.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disempurnakan dan disolatkan di Surau Al-Amin, Cheras Perdana dekat sini.

Aziz, 89, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi ini di Hospital KPJ Kajang akibat penyakit jantung.

Antara yang hadir pada majlis pengebumian itu ialah Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar; pelakon Datuk Mustapa Maarof, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Freddie Fernandez, Datuk M. Nasir dan beberapa artis-artis veteran yang lain.


Foto: Aziz Sattar dalam kenangan

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemergian seniman tersebut satu kehilangan besar kepada dunia perfileman negara.

Katanya, beliau mengenali secara peribadi seniman yang sezaman dengan Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee itu.

"Saya berasa agak sedih kerana tiada di tanah air untuk menziarahi (jenazah Allahyarham), saya sekarang berada di Jeddah kerana menghadiri Sidang Kemuncak Media Asia 2014," katanya dalam kenyataan kepada Bernama dari Jeddah Selasa.

Pada zaman kegemilangannya, Allahyarham berlakon bersama-sama seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarham S. Shamsuddin, sebagai trio Bujang Lapok pada tahun 1950-an.

Antara dialog Aziz yang diingati ialah menerusi filem Pendekar Bujang Lapok ketika membaca surat biarpun buta huruf.

Aziz: Sekali syair daa!...Alkisah... Alkisah tersebutlah kisah sang kancil mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Firaun...

P Ramlee: Cit!... mana Firaun pakai sultan...