ANGGOTA band One Direction berkongsi perasaan "amat terkejut dan sedih" dengan berita kematian rakan mereka, Liam Payne.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis itu ditandatangani oleh Harry Styles, Louis Tomlinson, Zayn Malik dan Niall Horan.

Payne yang mencapai kemasyhuran global bersama kumpulan boy band One Direction, meninggal dunia pada usia 31 tahun selepas terjatuh dari balkoni bilik hotel di tingkat tiga di Buenos Aires.

Pemergian penyanyi itu mencetus kegemparan dan mengejutkan peminat-peminatnya dari seluruh dunia.

"Pada masa yang sesuai dan apabila semua orang bersedia, akan ada lebih banyak yang ingin dikatakan.

“Tetapi buat masa ini, kami akan mengambil masa untuk berkabung dan menerima kehilangan saudara kami, yang sangat kami sayangi," kata rakan-rakan mendiang Payne dalam kenyataan itu.

Mereka juga sepakat memberitahu, kenangan yang mereka kongsi bersama Payne akan dihargai selamanya.

"Buat masa ini, fikiran kami bersama keluarganya, rakan-rakannya dan peminat yang mencintainya bersama kami. Kami pasti akan merindui kamu. Kami sayang kamu, Liam," kata kenyataan itu lagi. - Agensi