Konsert sulung One Direction di rantau Asia mendapat sambutan hangat dengan kehadiran lebih 30,000 peminat di Stadium Nasional Singapura di sini pada Rabu malam.

Ini sekali gus menjadikan mereka konsert artis barat terbesar di Singapura setakat ini.

Kumpulan yang berasal dari United Kingdom ini yang dianggotai Zayn Malik, Niall Horan, Harry Styles, Liam Payne dan Louis Tomlinson mempersembahkan 23 buah lagu sepanjang konsert yang berdurasi selama satu jam setengah itu.

Konsert yang dimulakan dengan lagu Clouds mendapat sorakan gemuruh apabila kelima-lima jejaka Britain itu muncul di pentas.

Jeritan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Directioners' kedengaran tanpa henti sepanjang konsert berjalan.

Antara lagu yang dinyanyikan adalah One Thing, Little Things, Steal My Girl, Midnight Memories, What Makes You Beautiful dan diakhiri dengan lagu Best Song Ever.

"Singapura, kamu semua sangat hebat," kata Harry kepada semua di stadium tersebut.

Singapura merupakan lokasi pertama jelajah On The Road Again bagi kumpulan One Direction di Asia Tenggara dan rata-rata peminat yang hadir bukan sahaja dari republik ini, malah dari negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia.


one direction
Antara aksi peminat yang hadir - Foto Astro AWANI


Ada juga peminat yang datang dari Jepun, Korea dan China kerana tidak berpeluang menonton artis kegemaran mereka ini di negara masing-masing.

Difahamkan seramai 8,000 peminat fanatik telah datang ke stadium sebelum waktu pembukaan konsert lagi. Termasuk kira-kira 300 peminat yang telah pun berada di luar stadium seawal jam 4 pagi. Perkara ini disahkan oleh seorang pengawal keselamatan stadium yang bertugas.

Demi melihat kelibat artis kesayangan mereka dengan lebih dekat, mereka sanggup lakukan apa sahaja dan pastinya mereka pulang dengan wajah gembira dan puas hati setelah lima tahun menunggu kumpulan ini untuk membuat konsert di rantau ini.

Jelajah kali ini mempromosikan album studio keempat mereka iaitu Four, dan juga tiga album terdahulu, Midnight Memories, Take Me Home dan Up All Night.

Selepas Singapura, mereka dijadualkan akan meneruskan konsert jelajah di Bangkok, Hong Kong, Manila dan Jakarta.