Bagi penyanyi rap itu, strategi selepas kemenangan itu lebih penting kerana masyarakat antarabangsa sentiasa terbuka menerima karya dan bakat terutamanya dari Asia.
Joe berharap kemenangannya di MTV EMA itu akan memberikan insipirasi kepada artis generasi baharu untuk mempunyai matlamat dan impian yang lebih besar.
Katanya, 95 peratus daripada artis di Malaysia selesa dengan pencapaian mereka sekarang dan tidak mahu berusaha memasuki pasaran muzik yang lebih luas.
Beliau berpendapat faktor bahasa mungkin menyebabkan artis Malaysia kurang yakin untuk ke peringkat antarabangsa.
“Kita perlu jadikan artis Korea sebagai contoh, muzik itu adalah universal dan bahasa bukanlah penghalang. Malah 5 single terakhir saya ialah dalam Bahasa Melayu dan itu yang dinilai oleh pihak MTV”, ujar Joe yang ditemu bual dalam program Teh Tarik AWANI pada Selasa.
Sebagai pemuzik, Joe yakin yang sesuatu karya itu harus dihasilkan dengan jujur dan sesuai dengan kehendak peminat.
Beliau mengakui kehendak pasaran muzik yang telah berubah tapi trend semasa tidak boleh diketepikan terus.
Joe turut mendedahkan yang kebanyakan lagunya tidak dimainkan di radio, namun itu tidak mematahkan semangat beliau untuk menghasilkan muzik yang berkualiti.
Di MTV Europe Music Awards 2018, Joe Flizzow menewaskan Afgan dari Indonesia, IV of Spades dari Filipina dan The Sam Willows dari Singapura.
Beliau turut terkejut ada segelintir peminat di Sepanyol yang mengikuti muzik beliau.
Malah selebriti seperti Terry Crews dan Dua Lipa turut banyak bertanya mengenai Malaysia.