Menurut pelantun lagu Untukmu Aku Bertahan itu, sebagai penyanyi kadang kala mereka juga mahu mendengarkan peminat 'sing along' dan menikmati momen tersebut bersama.
“Selalunya itu adalah tindakan yang spontan di pentas.
“Kadang-kadang sebagai penyanyi, kita ingin mendengar peminat menyanyi bersama kita dan ia sangat bagus kerana ada komunikasi dua hala antara kita bersama dengan peminat,” ujarnya.
Namun bagi Afgan atau nama sebenarnya Afganshah Reza, 35, tindakan memberikan mikrofon kepada peminat untuk menyanyi bersama itu disifatkan sebagai satu momen yang indah.
“Kadang-kadang saya juga arahkan mikrofon saya kepada penonton yang hadir ke konsert tapi itu tidak bermakna kita malas untuk menyanyi.
“Kerana kita memang ingin mendengarkan peminat menyanyikan lagu yang sudah kita ciptakan, dan momen itu sangat istimewa,” tambahnya.
Afgan akan menemui peminatnya untuk konsert Afgan Live in Penang pada 28 Disember 2024 yang bertempat di Spice Arena Pulau Pinang.
Peminat sudah boleh dapatkan tiket menerusi Ticket2u.com.my dengan harga bermula RM138 sehingga RM388.
Untuk Info, ini merupakan konsert solo terbesar Afgan di Malaysia selama berkecimpung dalam industri seni suara.
Terdahulu, ada segelintir yang tidak bersetuju dengan tindakan penyanyi yang menghulur mikrofon kepada peminat ketika sedang membuat persembahan.
Bagi mereka, kehadiran mereka ke konsert tersebut adalah untuk mendengar penyanyi tersebut menyampaikan lagu yang mereka minati dan bukan sebaliknya. -- Gempak