ISLAMABAD: Yahya Afridi mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Pakistan ke-30 pada Sabtu, menurut kenyataan dari Sayap Media Rumah Presiden, lapor Xinhua.

Presiden Asif Ali Zardari mengendalikan upacara angkat sumpah itu yang diadakan di Rumah Presiden di Islamabad.

Hakim Mahkamah Agung yang baru dilantik itu mengambil alih jawatan itu selepas pendahulunya, Hakim Qazi Faez Isa, bersara pada Jumaat setelah menamatkan tempoh perkhidmatannya.

Afridi telah dicalonkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen sebagai ketua hakim seterusnya daripada tiga hakim paling kanan di Mahkamah Agung di bawah pindaan baharu Perlembagaan Pakistan, dan Perdana Menteri telah mengemukakan ringkasan berkenaan kepada Presiden yang meluluskan pelantikan itu.

Afridi, yang menyertai mahkamah tertinggi pada 2018, akan memegang jawatan ini sehingga bersara pada 26 Okt 2027, menurut laman sesawang Mahkamah Agung Pakistan.

-- BERNAMA