LONDON: Siri wang kertas yang merupakan antara yang pertama memaparkan wajah Raja Charles III dilelong pada harga GBP914,127 (AS$1.17 juta) dengan hasilnya disalurkan kepada beberapa badan amal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Nota itu, yang mempunyai nilai muka kira-kira GBP78,000, adalah antara yang terawal dikeluarkan dengan memaparkan wajah raja selepas wang kertas baharu GBP5, GBP10, GBP20 dan GBP50 memasuki edaran pada Jun.

Sekeping helaian wang kertas GBP50 dijual dengan harga GBP26,000, mencatat rekod sebagai lot tertinggi yang dijual dalam lelongan wang kertas Bank of England.

Ini diikuti dengan lelongan GBP10 yang satu nota dijual pada harga GBP17,000 dengan nombor siri HB01 00002.

Pengumpul biasanya mencari wang kertas dengan nombor siri serendah mungkin - atau hampir dengan 00001 yang mereka boleh temui - sebab itu mereka sanggup membayar lebih untuk wang kertas berkenaan.

Lelongan itu dijalankan oleh Spink di London.

Sarah John, ketua juruwang dan pengarah eksekutif perbankan di Bank of England, berkata: "Saya teruja bahawa lelongan dan undian awam untuk wang kertas Raja Charles III bernombor rendah telah berjaya mengumpul GBP914,127 yang akan disumbangkan kepada 10 badan amal yang dipilih oleh kakitangan Bank of England.

"Setiap badan amal melakukan kerja yang luar biasa dan wang yang dikumpul akan memberi kesan positif kepada orang ramai di seluruh UK."

Senarai badan amal ialah: Childhood Trust, Trussell Trust, Shout, Carers UK, Demelza, WWF-UK, Brain Tumor Charity, London Air Ambulance Charity, Child Bereavement UK dan Samaritans.

Terdapat lebih 4.6 bilion wang kertas Bank of England dalam edaran, bernilai kira-kira GBP82 bilion.

Walaupun Bank of England mula menghasilkan wang kertas pada abad ke-17, mendiang ibu Charles, Ratu Elizabeth II, adalah pemerintah British pertama yang diberi penghormatan pada 1960 dengan wang kertas GBP1.

Penggunaan wang kertas dan wang tunai kertas semakin berkurangan, dengan tinjauan baru-baru ini untuk Link menunjukkan bahawa hampir separuh (48 peratus) orang menjangkakan untuk melihat masyarakat tanpa tunai.

Bagaimanapun, pejabat pos mengendalikan jumlah wang tunai yang mencatatkan rekod pada Julai, dengan transaksi berjumlah GBP3.77 bilion.

-- BERNAMA