Perjanjian ini dicapai selepas rundingan panjang antara pembuat kereta terkemuka Eropah itu dan Kesatuan Sekerja bagi mengelakkan mogok besar-besaran.
Pemimpin kesatuan menggambarkan perjanjian itu sebagai "keajaiban Krismas" selepas 70 jam rundingan yang mencabar, menjadikannya rundingan paling lama dalam sejarah 87 tahun syarikat itu.
Tiada penutupan tapak atau pemberhentian pekerja secara langsung dan Volkswagen dilaporkan membatalkan tuntutan pengurangan gaji sebanyak 10 peratus.
Keputusan ini turut memberi kelegaan kepada pelabur selepas perbincangan yang sukar selama berbulan-bulan.
Saham Volkswagen meningkat 2.4 peratus dalam dagangan lanjutan selepas pengumuman perjanjian tersebut, walaupun saham syarikat itu telah kehilangan 23 peratus nilainya tahun ini.
Volkswagen telah berbincang dengan wakil kesatuan sejak September lalu mengenai langkah-langkah yang dianggap perlu untuk bersaing dengan pesaing dari China serta menangani permintaan yang lembap di Eropah dan kadar penerimaan kenderaan elektrik yang lebih perlahan daripada jangkaan.
Sekitar 100,000 pekerja telah menyertai dua mogok besar-besaran dalam sebulan yang lalu, menjadikannya mogok terbesar dalam sejarah Volkswagen, bagi membantah rancangan pemotongan kos.
Volkswagen menjangkakan penjimatan sebanyak 15 bilion euro (RM78 bilion) setahun dalam jangka masa sederhana melalui perjanjian ini.
Tiada penutupan tapak segera, tetapi syarikat itu sedang mempertimbangkan pilihan untuk kilang di Dresden dan kemungkinan menjual tapak Osnabrueck.
Sebahagian pengeluaran akan dipindahkan ke Mexico.
Pengeluaran kenderaan di kilang Dresden akan dihentikan sepenuhnya menjelang akhir 2025.
Kakitangan Volkswagen tidak akan menerima kenaikan gaji di bawah perjanjian kolektif selama empat tahun akan datang dan beberapa bonus akan dihentikan atau dikurangkan.