PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menasihatkan agar negara tidak menerima derma darah daripada mereka yang melancong atau pulau dari negara-negara yang terbabit dalam penularan virus Zika.

WHO dalam satu kenyataan media memberitahu AFP agar langkah berjaga-jaga perlu diambil terhadap pendermaan darah daripada mereka yang pulang dari negara-negara berkenaan.

Kanada dan Britain merupakan antara negara yang sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga dalam melindungi tabung darah mereka.

Pihak berkuasa tabung darah Kanada sudah mengeluarkan arahan bahawa mereka yang pulang dari negara-negara yang terbabit dalam penularan virus Zika tidak boleh menderma darah untuk tempok tiga minggu.

Britain pula melarang pendermaan darah untuk tempoh 28 hari bagi mereka yang baru pulang dari negara terlibat dengan virus Zika.

BACA: Fakta ringkas mengenai virus Zika

Virus Zika disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti yang juga membawa virus denggi.

Antara simptom-simptom jangkitan virus Zika termasuk demam, ruam, sakit sendi dan konjunktivitis.

Ancaman virus Zika kini dilaporkan lebih berbahaya terhadap kesihatan global dibandingkan dengan virus Ebola sebelum ini.

Minggu lalu, WHO telah memberi amaran bahawa virus bawaan nyamuk Aedes aegypti itu sedang tersebar dengan meluasnya di Amerika Selatan dan menganggarkan sehingga empat juta kes Zika di benua itu tahun ini sahaja.

BACA: Virus Zika: Belum ada larangan warga Malaysia ke Amerika Selatan

Brazil merupakan negara pertama yang menyuarakan kerisauan dalam krisis Zika dan memberi amaran pada Oktober lalu tentang kewujudan mikrosefali di kawasan Timur Laut.

Brazil sejak itu telah menjadi negara yang paling teruk terjejas, dengan kira-kira 4,000 kes mikrosefali di mana 270 kes telah disahkan, satu peningkatan daripada 147 kes pada tahun 2014.