ASEAN perlu mengambil langkah lebih konkrit bagi menjamin wujudnya keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, perkara itu menjadi paling penting dalam konteks masa kini, khususnya dalam mendepani cabaran bersifat tradisional dan bukan tradisional, seperti keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Dalam teks ucapannya yang dibacakan timbalannya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di sini hari ini sempena sambutan hari ASEAN ke-49, Datuk Seri Anifah berkata perpaduan dan kesepakatan kini merupakan sesuatu yang lebih penting daripada biasa bagi ASEAN.

"Tekad kami kuat dan dalam semangat soliditari, ASEAN, sebagai sebuah komuniti, akan dapat menghadapi cabaran-cabaran ini. Dalam mengorak langkah ke arah melaksanakan visi ASEAN 2015, kita akan menjadi lebih kuat sebagai sebuah komuniti dalam menghadapi dan mengatasi cabaran semasa serta cabaran masa depan," kata Datuk Seri Anifah menerusi teks ucapannya.

Bersempena sambutan itu, upacara menaikkan bendera diadakan di Kementerian Luar (Wisma Putra) di sini, yang dihadiri diplomat dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog ASEAN.

Upacara itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan menaikkan jalur gemilang, diikuti nyanyian lagu ASEAN, ASEAN Way, dan menaikkan bendera.

Hari ASEAN disambut bagi memperingati lima pengasas ASEAN dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, yang menandatangani Deklarasi Bangkok untuk keamanan dan kestabilan rantau ini serta mendorong orang ramai supaya terus berusaha untuk menjadi lebih maju dan berjaya.

Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah hampir US$2.6 trilion, ASEAN merupakan pasaran ketujuh terbesar di dunia.