KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh dilakukan terhadap insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pegawai peribadinya.


Ringkasan AI
  • Pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas: Malaysia menggesa siasatan menyeluruh terhadap insiden pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, dan seorang pegawai peribadinya. Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab harus dihadapkan ke pengadilan.
  • Kutukan Terhadap Keganasan: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan tersebut dan menyatakan simpati kepada ahli keluarga, barisan kepimpinan, dan rakyat Palestin. Negara ini juga mengecam semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan.
  • Panggilan untuk Dialog dan Keadilan: Malaysia menekankan perlunya meredakan ketegangan dan mencari penyelesaian damai melalui dialog konstruktif. Negara ini komited untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan mengakui peranan Ismail dalam membebaskan negara mereka dari penjajahan Israel.


Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi satu kenyataan pada Rabu menegaskan, mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan itu dan mengucapkan takziah dan menzahirkan simpati kepada ahli keluarga, barisan kepimpinan dan rakyat Palestin.

Malaysia juga tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan termasuk pembunuhan yang disasarkan.

“Malaysia menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan ini.

“Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak untuk terlibat dalam dialog konstruktif dan mencari penyelesaian damai,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, Malaysia kekal berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan terus komited untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.

“Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel,” menurut Wisma Putra.

Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta-fakta mengenai pembunuhan ini sedang dikenal pasti.