Demikian luah Anida Idrus, 43, ibu kepada Baby Syifaa atau Nour Rania Asyifaa ketika ditemui pemberita selepas keputusan inkues di Mahkamah Koroner Seremban dekat sini pada Rabu.
Dia yang tidak dapat menahan sebak berkata, tiada sesiapa pun dapat menafikan yang anaknya itu meninggal dunia ketika di bawah jagaan pengasuh dan dibawa ke klinik dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
"Untuk in, saya puas bila dengar Koroner sebut anak saya 'brought in death' (sudah tidak bernyawa) ketika sampai di klinik.
"Tinggalkan anak saya satu ke dua jam dalam keadaan pintu tertutup adalah tindakan tidak perikemanusiaan, orang yang saya amanahkan, harap perkara ini menjadi pengajaran kepada pihak taska," katanya.
Selain itu, dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan mendoakan pembelaan dapat diberi kepada arwah anaknya.
"Alhamdulillah walaupun tempoh dua tahun lima bulan itu sangat panjang, kami mendapat pembelaan untuk Baby Syifaa. Semua ini untuk Syifaa.
Bapanya, Yuseri Yusoff, 41, pula berkata, pihak keluarga akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya bagi memastikan pengasuh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian.
"Baby Syifaa tidak akan hidup balik, tapi boleh jadi pengajaran kepada keluarga lain berjuang untuk anak mereka dan memang tempoh ini sangat mencabar bagi keluarga kami," katanya.
Sementara itu, peguam Gaithri Thomas berkata, keputusan mahkamah berkenaan merumuskan pengasuh yang juga saksi ke-19 kes itu cuai dengan meninggalkan bayi tanpa pengawasan dalam masa dua jam.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan keluarga berkenaan tindakan seterusnya yang perlu diambil bagi mendapatkan keadilan terhadap kes berkenaan.
"Kemungkinan kita akan mengambil tindakan sivil ke atas kecuaian kerana siasatan tidak menyeluruh ke atas kes ini di mana kain buaian dan besi buaian tidak disiasat dengan penuh tekun.
"Mahkamah Koroner telah membuat penemuan bahawa saksi ke-19 (pengasuh) cuai, itu merupakan harapan saya sejak hari pertama inkues, pengasuh itu perlu didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang," katanya. - Sinar Harian