KOTA KINABALU: Bekas menteri luar Datuk Seri Anifah Aman akan membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Ranau, Apirin Jahalan @ Taufik Sham. 

Perkara itu diumumkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Sesi Ceramah PH di Sepanggar, malam tadi.

"Dua hari lagi, Anifah akan bantu kempen di Ranau. Kita mesti menang di sana. Jangan kalah. Sebab, Ranau tempat pengkhianat," tegas Anwar.

Sementara itu, Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) menjelaskan mengapa beliau mengikuti Anwar dan membantu calon PH bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Jelasnya, rakyat memerlukan seorang pemimpin yang boleh menangani kemerosotan ekonomi negara dan ia boleh dilaksanakan oleh Anwar sebagai seorang bekas menteri kewangan terbaik di Asia.

"Beliau adalah seorang pemimpin yang betul-betul berjiwa rakyat. Jadi, berilah peluang kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.


Sementera itu, Anifah turut mendedahkan mengenai tawaran jawatan Menteri Luar yang dakwanya sebelum ini pernah dijanjikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepadanya.

Katanya, Ahmad Zahid menawarkannya jawatan tersebut melalui lantikan Senator sebagai ganjaran untuk tidak bertanding dan menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin di Parlimen Kimanis.

"Presiden UMNO janjikan saya jawatan Menteri Luar dan dilantik sebagai Senator supaya jangan tanding dan bantu calon BN di kawasan saya, Kimanis.

"Bukan itu yang saya mahu. Apa yang saya mahu ialah melunaskan apa-apa yang termaktub dalam perlembagaan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963). Itu perjuangan saya," katanya.

Anifah ketika hadir pada Sesi Ceramah PH di Sepanggar, malam tadi. - Foto Astro AWANI

SEMAK SEMUA CALON PRU15 MENGIKUT KAWASAN DI SINI 

Tambah Anifah, beliau sentiasa meminta agar MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil Sabah ditunaikan ketika berada dalam kerajaan sebelum ini kerana merasakan perkara itu penting untuk direalisasikan.

Bekas ahli Parlimen Kimanis itu turut berkata, pengembalian 40 peratus hasil Sabah memberi banyak peluang kepada rakyat negeri ini termasuk dari segi pekerjaan dan pembukaan industri kecil khususnya kepada belia.

Bagaimanapun, Anwar tidak memberi jawapan kukuh apabila ditanya mengenai status pengembalian 40 peratus hasil Sabah apabila menjadi Perdana Menteri kelak.

"Saya bukan Mahathir," jawabnya pendek.

BACA: Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri, proses rundingan masih berjalan - Hajiji

BACA: Kongsi hasil 40 Peratus: 12 wakil rakyat PH Sabah failkan tuntutan undang-undang