KUALA LUMPUR: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan terus mengekalkan kedudukannya di selatan Lubnan walaupun berdepan cabaran dan tekanan yang berterusan, kata Ketua Misi dan Komander Pasukan, Aroldo Lazaro.

Ketegangan yang semakin memuncak serta pertempuran sengit yang berlaku baru-baru ini telah menguji ketahanan pasukan pengaman yang ditempatkan di kawasan terbabit, katanya dalam satu hantaran di platform X.

Dalam lawatannya ke dua kedudukan batalion Ireland, Lazaro memuji dedikasi serta ketabahan para anggota pengaman yang tidak berbelah bahagi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau menekankan bahawa moral yang tinggi dan komitmen mereka terhadap mandat UNIFIL amat penting untuk usaha mengekalkan keamanan di rantau itu.

"Pasukan pengaman kekal di semua posisi di selatan Lubnan, walaupun menghadapi cabaran dan tekanan yang besar.

"Saya amat berbangga dengan moral tinggi dan komitmen yang dipamerkan terhadap mandat UNIFIL," katanya.

UNIFIL, yang ditubuhkan pada 1978 berperanan memantau penghentian permusuhan dan menyokong kerajaan Lubnan dalam mengekalkan kestabilan di kawasan terbabit.

-- BERNAMA