BEIRUT: Jurucakap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Andrea Tenenti pada Khamis berkata bahawa keluarga pasukan pengaman yang berkhidmat dengan agensi itu perlu meninggalkan negara berkenaan buat sementara waktu, lapor agensi berita Xinhua memetik laman berita Elnashra.

"Banyak keluarga telah meninggalkan Lubnan, walaupun ada yang masih kekal di Beirut.

"Tindakan baharu ini juga melibatkan mereka dan ia adalah langkah sementara," kata jurucakap itu.

Kenyataan Tenenti ini dibuat susulan peningkatan konflik antara Hezbollah dengan tentera Israel di sempadan selatan Lubnan baru-baru ini.

Langkah ini dijangka berlangsung sekurang-kurangnya hingga akhir Ogos.

Beberapa negara menggesa rakyat mereka untuk meninggalkan Lubnan, sementara beberapa syarikat penerbangan menangguhkan atau membatalkan penerbangan ke Beirut.

Ketegangan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel memuncak pada 8 Okt 2023, selepas serangan roket yang dilancarkan oleh Hezbollah sebagai tanda solidariti dengan Gaza.

-- BERNAMA