NEW YORK: Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi membidas Israel dan menggesa perbuatan Benjamin Netanyahu mesti dihentikan kerana telah mengheret wilayah Asia Barat ke dalam kancah peperangan.


Ringkasan AI
  • Ayman Safadi mengkritik tindakan Israel dan menggesa agar perbuatan Benjamin Netanyahu dihentikan untuk mengelakkan perang serantau.
  • Beliau menyeru agar pembekalan senjata kepada Israel dihentikan dan rakyat Palestin dilindungi daripada kekejaman.
  • Israel melancarkan serangan udara yang menyasarkan ibu pejabat Hizbullah di Beirut, meningkatkan risiko ketidakstabilan di rantau tersebut.


Tegas beliau, risiko untuk rantau itu jatuh dalam perang serantau sepenuhnya semakin meningkat dari hari ke hari dan bahaya itu perlu dihentikan sebelum ia terlambat.

Berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai kemelut di Gaza di New York, Ayman berkata Asia Barat dan dunia mesti dilindungi daripada pencerobohan.

Beliau juga menggesa untuk menghentikan pembekalan senjata kepada Israel dan menyelamatkan rakyat Palestin daripada kekejaman rejim zionis itu.

“Israel telah memusnahkan Gaza. Mereka mengebom Tebing Barat, menginjak-injak Lubnan dan mendorong wilayah ini ke arah perang penuh kerana dunia membiarkan ia berlaku.

"Kerajaan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa kerana ia tidak menghadapi akibat daripada pelanggaran undang-undang tersebut.

"Jenayah perang dilakukan kerana mereka tidak bertanggungjawab apabila melanggar undang-undang.

"Mereka mencabar resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung serta keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana undang-undang antarabangsa diterapkan secara selektif dan Israel berada di atas undang-undang.

"Ia mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa kerana Majlis Keselamatan tidak menjalankan tugasnya dan tidak menggunakan alat-alat undang-undang untuk mengekang Israel," katanya memetik laporan Reuters.

Pada Jumaat, serangan udara Israel menggegarkan Beirut, dengan tentera Israel mengatakan ia telah menyasarkan ibu pejabat pusat Hizbullah di pinggir selatan ibu kota Lubnan.

Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud berkata serangan udara itu telah meningkatkan risiko keadaan menjadi tidak terkawal.