KUALA LUMPUR: Hanya Perang Dunia Ketiga yang mampu membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang.

Pendapat itu disuarakan Profesor Pengajian Keselamatan dan Strategik UPNM, Prof Mizan Mohammad Aslam melihat kepada kuasa veto Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tentunya memihak kepada Israel.

“Jadi sesiapa yang menyerang maka mereka digelar pengganas, walaupun serangan balas itu merupakan cara negara berkenaan mempertahankan diri.  Terma sedemikian langsung tidak adil.

“Kejelikan ini tiada titik noktah melainkan berlakunya Perang Dunia Ketiga yang mana seluruh sistem itu akan dirombak, mungkin ada penjajaran semula geografi dan PBB akan berwajah baru dengan tiada lagi kuasa veto dan sebagainya. Ini mungkin agak jauh ke depan, saya akui. Namun itulah hakikatnya, waran tangkap ICC ini saya lihat tidak akan berkesan sama sekali,” katanya dalam Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Namun, Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia, Azril Mohd Amin berbeza pandangan dengan melihat Perang Dunia Ketiga akan memburukkan lagi situasi dan berpendapat PBB masih berfungsi dengan efektif.

“Kita boleh lihat bagaimana Perhimpunan Agung PBB telah meminta nasihat ICJ apabila Malaysia kemuka hujahan, jelas walaupun pandangan itu tidak mengikat tapi ia semakin menunjukkan bahawa negara-negara Barat yang masih menyokong kekejaman Israel semakin terasing daripada diplomasi, ia makin diasingkan dan terserlah sifat hipokrasi mereka,” ujarnya.

Senada dengan pendapat Azril ialah Profesor Undang-Undang UiTM, Prof Datuk Rahmat Mohamad yang percaya ada sinar di hujung terowong dalam isu ini memandangkan sudah banyak negara barat mula mengecam kezaliman Israel.

Pada minggu lalu, waran tangkap bukan hanya dikeluarkan kepada Netanyahu, malah ia turut menamakan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.

Waran tangkap terbaharu yang dikeluarkan ICC itu turut melibatkan Ketua Hamas, Ibrahim al-Masri.