VILNIUS: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy yakin negaranya akan menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas peperangan dengan Rusia berakhir.

Menurutnya, walaupun amat jelas bahawa Ukraine tidak boleh bergabung dengan kesatuan itu ketika dilanda konflik dengan Rusia kerana ia akan mencetuskan Perang Dunia III, penyertaan boleh menyusul apabila keamanan dicapai.

Awal minggu ini Zelenskyy berkata, Ukraine berharap ia menerima jemputan rasmi untuk menganggotai NATO ketika sidang kemuncak di Vilnius, Lithuania, yang menjadikan perang Rusia-Ukraine sebagai agenda utama.

Menurut beliau, majoriti pakatan secara jelas menyokong keanggotaan Ukraine ke dalam NATO.

Beliau menambah sidang kemuncak dua hari di Vilnius sehingga Rabu mesti mengesahkan perkara berkenaan.

Zelenskyy berkata, pihaknya sedang berusaha keras dengan seluruh pasukan ditugaskan untuk mendapatkan keahlian secara jelas dan sepantas mungkin.

Pada Selasa, Zelenskyy mengadakan beberapa siri rundingan dua hala di Vilnius, termasuk dengan negara Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan Kanada yang turut menegaskan bahawa perjuangan Ukraine adalah untuk kepentingan barat.

Kata Zelenskyu, keselamatan sayap timur NATO bergantung kepada Ukraine dalam menangkis serangan Rusia.

Operasi khas ketenteraan di Ukraine, yang dicetuskan kerana hasrat Kiev untuk menganggotai NATO sehingga menimbulkan kemarahan Moscow, berlanjutan sehingga lebih setahun dan sehingga kini tidak menunjukkan ia akan tamat dalam tempoh terdekat.