KIEV: Seramai enam pegawai Ukraine termasuk Menteri Kabinet menyerahkan surat peletakan jawatan sejak Selasa lalu, manakala seorang pembantu presiden dipecat.

Situasi itu menandakan rombakan besar-besaran sedang berlaku dalam barisan pentadbiran kerajaan.

Antara pemimpin yang menyerahkan surat peletakan jawatan itu ialah Menteri Industri Strategik, Menteri Kehakiman, Menteri Perlindungan Alam Sekitar, Timbalan Perdana Menteri, serta ketua dana harta negara Ukraine.

Sebelum ini, Ketua Fraksi Parlimen parti pemerintah di Telegram memaklumkan sudah menjangkakan rombakan Kabinet pada minggu ini.

Katanya, lebih 50 peratus kakitangan Kabinet menteri ditukar, sehari selepas hari peletakan jawatan sebelum kemudiannya akan berlaku pelantikan baharu.

Berdasarkan dekri presiden, seorang lagi pembantu kanan presiden, turut dipecat.

Rombakan itu dilakukan ketika Ukraine terus bertahan menghadapi serangan yang dilakukan oleh Rusia sambil menumpukan serangan ke wilayah Kursk.

Pada hari sama pengumuman itu dibuat, serangan Rusia terhadap bandar Poltava di tengah Ukraine mengorbankan 51 orang dan mencederakan 271 yang lain.

Presiden Volodymyr Zelenskyy berjanji Rusia perlu bertanggungjawab atas serangan itu, dan mengulangi seruan agar lebih banyak sistem pertahanan udara dibekalkan oleh kuasa barat yang boleh melindungi pihaknya daripada serangan Moscow.

Untuk rekod, Zelenskyy beberapa kali melakukan perubahan dalam kerajaannya sejak Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh terhadap Ukraine pada Februari 2022.

Pada Mei tahun lalu, beliau memecat Menteri Pertahanan selepas beberapa skandal rasuah dan memecat komander tertinggi Kiev pada awal tahun ini.

Sekurang-kurangnya lima portfolio kerajaan, termasuk portfolio infrastruktur dan pertanian, kekal kosong sejak barisan menteri meletak jawatan atau dipecat, awal tahun ini.