Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha mencapai kemerdekaan bukanlah suatu yang mudah, dan untuk itu rakyat Malaysia harus mempertahankannya.
"Tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' menuntut seluruh rakyat Malaysia bersatu hati, kukuhkan perpaduan dan jati diri sebagai negara berdaulat," katanya.
Mesej sama turut diutarakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang berkata, hari ini adalah saat yang terbaik untuk rakyat Malaysia mengimbas kembali detik-detik bersejarah yang telah membentuk identiti bangsa.
"Kita sedang memikul tanggungjawab yang sangat besar untuk meneruskan legasi kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini. Marilah kita bersama-sama tautkan hati, gandakan usaha serta kuatkan tekad dan keazaman untuk menjadi anak bangsa yang kalis cabaran, demi tanah air tercinta," katanya.
Menteri Perpaduan Datuk Aaron Aro Dagang pula berharap semangat kemerdekaan terus menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama, atau budaya, dalam usaha membina negara yang aman, makmur, dan harmoni.
"Pada hari yang bersejarah ini, marilah kita bersama-sama mengenang jasa para pejuang yang telah berkorban demi tanah air tercinta," katanya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam hantarannya berharap semangat kemerdekaan terus menyala di setiap sanubari rakyat Malaysia, menjadikan rakyat lebih bersatu padu, berani, dan berdaya maju dalam menghadapi cabaran-cabaran masa depan.
"Marilah kita bersama-sama memelihara dan memperkukuhkan warisan negara yang tercinta ini, demi kesejahteraan generasi akan datang, Dirgahayu Malaysiaku!," katanya.
Sementara itu Menteri Digital Gobind Singh Deo menzahirkan harapan agar Malaysia terus mekar sebagai sebuah negara makmur dalam era digital yang sentiasa berkembang pesat, demi kesejahteraan hari ini dan generasi akan datang.
"Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 tahun ini, marilah kita bersama-sama meraikan kebebasan dan mengenang suka duka yang telah kita lalui bersama sebagai rakyat Malaysia, di tanah air yang tercinta ini," katanya.
-- BERNAMA