ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) pada Sabtu mengeluarkan amaran kepada warganya untuk segera meninggalkan Lubnan di tengah kebimbangan mengenai peningkatan konflik dengan Israel.

Kedutaan AS di Beirut memaklumkan bahawa penerbangan oleh beberapa syarikat penerbangan telah dibatalkan, tetapi pilihan pengangkutan komersial masih tersedia, lapor Agensi Anadolu.

"Kami menggalakkan mereka yang ingin meninggalkan Lubnan untuk menempah tiket yang tersedia, walaupun penerbangan itu tidak berlepas serta-merta atau tidak mengikut laluan pilihan pertama mereka.

"Warga AS yang kekurangan dana untuk kembali ke AS boleh menghubungi kedutaan untuk bantuan kewangan melalui pinjaman repatriasi," menurut kedutaan dalam satu kenyataan.

Kedutaan itu menggesa mereka yang memutuskan untuk kekal di negara itu supaya "membuat rancangan kontingensi untuk situasi kecemasan dan bersedia mencari tempat perlindungan untuk jangka masa yang panjang."

"UK terus menasihatkan agar rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke Lubnan dan warga Britain yang masih berada di negara itu untuk pulang sementara penerbangan komersial masih tersedia.

"Konsular akan membantu dengan perancangan strategik dan menjawab pertanyaan daripada warga Britain untuk memastikan mereka mendapat bantuan dan nasihat yang diperlukan, dan Pasukan Sempadan mengerahkan pegawai untuk membantu operasi konsular," menurut kedutaan.

UK menghantar pegawainya ke Asia Barat termasuk Lubnan untuk memberi sokongan tambahan kepada kakitangan kedutaan sebagai sebahagian daripada perancangan persediaan kerajaan terhadap pelbagai kemungkinan senario konflik, dengan ketegangan serantau yang semakin meningkat.

Beberapa syarikat penerbangan dari AS, Belanda, India, UK, Jerman, Switzerland, Itali, Greece, Perancis dan Poland mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan ke Israel dan Lubnan atas sebab keselamatan.

Lubnan kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan kesiapsiagaan tentera yang tinggi selepas serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada Selasa mengakibatkan kematian pemimpin kanan Hezbollah, Fuad Shukr.

Kebimbangan meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan penentang Lubnan di tengah-tengah serangan rentas sempadan yang berlarutan selama beberapa bulan. - BERNAMA