KUALA LUMPUR: Lebih banyak negara di seluruh dunia menggesa rakyat masing-masing meninggalkan Lubnan, ketika ketegangan semakin memuncak di rantau itu berikutan serangan berterusan Israel ke atas Lubnan.

Malaysia pada Rabu menasihatkan rakyatnya supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela.

BERNAMA melaporkan Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan turut menggesa rakyat Malaysia menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan kembali stabil.

Kedutaan India di Beirut dalam satu kenyataan berkata semua warga India "dinasihatkan untuk meninggalkan Lubnan" dan tidak melakukan perjalanan ke Lubnan.

Kira-kira 4,000 warganegara India tinggal di Lubnan dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor pembinaan, syarikat dan pertanian.

Agensi Anadolu melaporkan Itali dan Belgium pada Rabu menasihatkan rakyat mereka untuk melakukan perkara yang sama.

"Kami sentiasa menasihatkan warga Itali yang bekerja di Lubnan untuk meninggalkan negara itu secepat mungkin. Masih ada penerbangan dari Beirut ke Barat," kata Timbalan Perdana Menteri Itali dan Menteri Luar, Antonio Tajani pada mesyuarat Parti Rakyat Eropah (EPP) di Naples.

Beliau menyatakan, kira-kira 300 warga Itali berada di Lubnan untuk bekerja, manakala 3,000 memiliki dua kerakyatan.

Tajani berkata, 1,000 tentera Itali adalah sebahagian daripada misi Pasukan Interim PBB di Lubnan dan usaha sedang dibuat untuk memastikan keselamatan mereka.

Kementerian Luar Belgium juga menggesa rakyatnya meninggalkan Lubnan "secepat mungkin."

Kementerian memberi amaran bahawa keadaan keselamatan "boleh bertambah buruk," menurut agensi rasmi Belgium, Belga.

Dianggarkan 1,800 warga Belgium dipercayai menetap di Lubnan.

Di Kaherah, Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan pada Rabu menasihatkan rakyatnya untuk mengelakkan perjalanan ke Lubnan, susulan serangan tentera Israel.

"Memandangkan situasi yang semakin meruncing di Lubnan dan operasi ketenteraan yang semakin giat di sepanjang sempadan, kami menggesa rakyat Mesir untuk mengelak perjalanan ke Lubnan melainkan benar-benar perlu," lapor Agensi Anadolu, memetik kenyataan itu.

Ia menggesa warganegaranya yang kini berada di Lubnan supaya berhati-hati, mengelakkan zon konflik, mengikut arahan pihak berkuasa tempatan dan terus berhubung dengan Kedutaan Mesir di Beirut.

EgyptAir berkata, pada Selasa ia menangguhkan penerbangan dari Kaherah ke Beirut sehingga keadaan stabil di Lubnan.

Rusia juga menggesa rakyatnya di Lubnan supaya meninggalkan negara itu.

Kedutaan Rusia dan misi diplomatik lain di Lubnan sedang berusaha untuk memaklumkan kira-kira 3,000 warga Rusia yang tinggal di Lubnan mengenai amaran dan saranan yang dikeluarkan, kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov pada taklimat akhbar di Moscow.

"Semua langkah kini diambil untuk mengesyorkan rakyat kita meninggalkan wilayah Lubnan secepat mungkin, menggunakan perkhidmatan pengangkutan komersial yang ada. Ini perlu bagi memastikan keselamatan rakyat," katanya.

Sementara itu, dpa melaporkan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menggesa rakyat Britain meninggalkan Lubnan melalui laluan komersial yang masih ada tanpa bergantung kepada kemungkinan pemindahan.

Israel melancarkan serangan udara terhadap Lubnan sejak awal Isnin hingga mengorbankan 610 nyawa, manakala lebih 2,000 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.

Kumpulan Lubnan, Hezbollah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel terhadap Gaza sejak 7 Okt tahun lalu.

- BERNAMA